Oleh: Aida Abd Rahman
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan calon yang gagal menyerahkan penyata perbelanjaan pilihan raya ketika bertanding sebelum ini supaya tidak mengemukakan borang pencalonan baru kerana mereka sudah hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang.Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata sehubungan itu, SPR akan mengenalpasti dan mengeluarkan senarai nama calon yang gagal di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dari seluruh negara untuk diserahkan kepada pegawai pengurus pilihan raya bagi menolak borang pencalonan mereka nanti.
“Supaya nanti tiada ahli politik yang telah gagal dan tidak layak ini akan menyerahkan sekali lagi borang penamaan calon mereka. Kalau dia menyerahkan kertas penamaan calon dan namanya ada dalam senarai, tidak payah buang masa lah, pegawai pengurus (pilihan raya) akan menolak serta-merta.
“Di samping itu, kita juga akan membuat semakan awal, apabila parti-parti politik mengisytiharkan senarai calon masing-masing, dua tiga hari sebelum penamaan calon kebiasaannya, SPR akan semak dengan Jabatan Insolvensi..hendak cari ada orang (calon) bangkrup ataupun tidak,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam (5 Jun).
Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.
Datuk Wira Wan Ahmad berkata, SPR akan membantu pegawai pengurus pilihan raya mengenalpasti calon yang tidak layak bertanding sebelum proses penamaan calon berikutan tiada lagi proses mempamer dan bantahan pencalonan sepertimana amalan ketika penamaan sebelum ini.
“Berdasarkan pengalaman kita, mesti ada calon yang kalah dalam pilihan raya sebelumnya, tidak ambil kisah hendak menghantar penyata perbelanjaan, dia sudah kalah, dia Cuma ambil deposit pilihan raya sahaja, jika dia dapat jumlah undi yang banyak dan tidak hilang wang deposit.
“Kalau tidak salah saya, semasa PRU12, kita ada lebih kurang 40 nama calon. Semasa itu orang yang masuk PRU11 gagal menyerahkan penyata perbelanjaan (pada PRU12),”katanya.
Beliau menjangkakan jumlah calon hampir sama pada musim PRU13 ini berdasarkan pertandingan yang melibatkan 505 kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 222 Parlimen dengan keseluruhan calon yang bertanding menjangkau 4,000 calon dari parti kerajaan, pembangkang serta Bebas.
“Yang menang dia sudah jadi wakil rakyat dan dia ingat semua (menghantar penyata perbelanjaan), dia sudah ada pembantu, setiausaha. Tetapi ada wakil rakyat yang menang dan gagal menghantar penyata dia akan dapat kemaafan mahkamah melalui proses undang-undang, SPR akan beri peringatan untuk ke mahkamah supaya dia minta mahkamah maafkan,” katanya.
Selain itu, SPR turut mengingatkan pegawai kerajaan yang mungkin menjadi calon pada pilihan raya akan datang supaya meletak jawatan dan mengemukakan surat pengesahan peletakan jawatan berkenaan.