Pengundi yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai parti pembangkang diminta supaya tidak lagi menyokong wakil rakyat dari Pakatan Rakyat, sebaliknya mengalih sokongan mereka kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah terlalu lama bersabar dengan sikap mereka menyokong pembangkang dan mencaci BN walaupun sebahagian besarnya menerima banyak bantuan sama ada daripada kerajaan negeri mahu pun Pusat.
“Kalau bahagian ambil subsidi dan bantuan orang Pas mula-mula sekali ambik…Tetapi apa benda dia tak kata kepada pemimpin Umno dan BN.
“Masa kita bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) saya dan Dato’ Seri Mohd Najib (Perdana Menteri) sedang berucap, dia (orang Pas) dok beratur di kantin (untuk ambil duit semasa Perdana Menteri hadir pada majlis pemimpin bersama rakyat di DUN Batu Buruk),” katanya ketika berucap pada majlis penutup Pesta Wau Chendering 2012 di Chendering, petang semalam.
Hadir sama pada majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh.
Menteri Besar berkata, kesabaran pemimpin BN ada hadnya dan penduduk di kawasan pembangkang tidak perlu kecewa dan terkejut jika bantuan yang diberikan kepada mereka selama ini ditarikbalik disebabkan mereka terus menyokong calon pembangkang pada PRU 13.
“Di kawasan DUN Batu Buruk saja lebih 1,400 orang terima bantuan sama ada RM300 atau RM400 sebulan bagi tiap-tiap keluarga daripada kerajaan melalui Jabatan kebajikan Masyarakat.
“Jika kita tarik balik bantuan ini, siapa lagi yang nak tolong mereka,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin BN akan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat di kawasan pembangkang jika BN menang PRU 13 nanti.