Halaman

03 June 2012

Kepayahan hidup Nur Fatihah dapat perhatian Menteri Besar

Oleh FAUZI MOHD

Alam tawa dan riang seorang kanak-kanak hampir tidak wujud dalam hidupnya.



Keterbatasan pergerakan Nur Fatihah Abdul Karim, 11, yang mengalami penyakit sendi lembik (hilang upaya fungsi otot) sejak dilahirkan dengan tangan dan kakinya seakan-akan daun yang terkulai layu.

Di satu sudut rumahnya, e-Book yang disumbangkan kerajaan negeri menjadi teman bermain dengan menggunakan jari-jemari kedua-dua belah kaki yang sedikit kuat berbanding tangannya.

Nur Fatihah, 11, anak sulung daripada empat beradik yang belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah kebangsaan Bukit Payong terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa untuk melaksanakan kegiatan hariannya.



Kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said untuk menjengah kehidupannya di Kampung Gong Kiat semalam seakan-akan memberikan harapan baru buat Nur Fatihah dan keluarganya.

Bapanya, Abdul Karim Abullah, 39, seorang penjual ikan dan ibunya Mahani Mat Leha, 33, mengucapkan terima kasih dan syukur dengan perhatian yang diberikan oleh pemimpin negeri dan kerajaan.



Selain menghulurkan sumbangan peribadi, Menteri Besar memaklumkan bahawa Nur Fatihah akan dirujuk secepat mungkin kepada penelitian pakar saraf di hospital milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur, iHeal Medical Centre.

“Kita akan memberikan segala bantuan bagi membolehkan kanak-kanak ini menjalani rawatan dan mendapatkan peralatan sokongan yang diperlukan.

“Jika perlu dibuat pembedahan dan sebagainya, Kerajaan Terengganu akan membiayai sepenuhnya perbelanjaan itu melalui Tabung Penyakit Kronik,” kata Dato’ Seri Ahmad.

Nur Fatihah yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 bercita-cita menjadi guru.

Sementara itu, Mahani menceritakan dia begitu sayu melihat ketabahan anaknya mengharungi kepayahan dalam kehidupan.

"Sebelum ini dia tidak mampu menulis atau makan dengan tangan tetapi dia cukup bersemangat dan sentiasa cuba gagahkan diri untuk melakukannya.

"Dia lebih suka guna kaki kerana pakai tangan susah. Dia boleh menggunakan e-Book pemberian kerajaan negeri dengan kakinya itu," ujar Mahani.

"Saya sentiasa mendapat tunjuk ajar di sekolah dan di rumah, emak dan ayah bantu semasa ulang kaji," katanya.