Halaman

03 June 2012

Penduduk salah pilih `tok wakil’ Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha memastikan seluruh penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam yang memiliki pelbagai latar kehidupan bebas dari kemiskinan dan tidak tercicir dalam arus pembangunan dilaksanakan secara intensif dan padu oleh Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

“Penduduk Wakaf Mempelam masih ramai yang susah dan memerlukan perhatian termasuk mereka yang uzur dan menghidap penyakit kronik. Mereka perlu dibantu dengan apa cara sekalipun.

“Kalau mengharapkan `tok wakil’ (Haji Abdul Wahid Endut) yang dipilih penduduk sendiri, maka semakin melaratlah hidup penduduk yang sedia susah itu. Sebab tok wakil Pas itu hanya muncul di majlis keraian yang ramai orang, bukan ke rumah penduduk yang susah dan sedang sakit, waima puak dia sendiri,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Haji Wan Mahyuddin menegaskan, walaupun majoriti daripada pengundi di DUN itu sudah membuat kesilapan ketika Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 33 tahun lalu dengan memilih Pas yang terang-terang gagal membela nasib mereka, kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan penduduk yang sudah tersilap percaturan itu.

Katanya, sebagai pemimpin yang dipilih sebagai wakil dan medium kepada kerajaan negeri, beliau yang dibantu 31 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta 34 Ketua Cawangan dalam DUN itu nekad dan ikhlas membantu tanpa mengira status penduduk serta mereka di kalangan penyokong pembangkang.

“Saya tetap juga meneruskan rutin memasuki kawasan yang dikatakan `hitam’ (kubu kuat Pas) demi memastikan bantuan tiba dan mereka yang memerlukan benar-benar menikmati bantuan itu tanpa ianya dipolitikkan.

“Kadangkala saya tidak terlepas daripada menerima cemuhan walaupun niat saya ikhlas membantu. Mungkin mereka (puak Pas) berhati batu dan `keras keng’ sehingga kita datang membantu pun mereka ini menganggap kita seperti `membawa bom’ ke kawasan mereka pula,” katanya.

Katanya, puak yang dikatakan tegar itu sebahagian besar kini secara beransur-ansur sudah mula membuka mata, hanya berdiam diri dan mungkin api kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang tertanam dalam jiwa mereka kian terhakis melihat nikmat dan bantuan yang disediakan kerajaan BN dari dulu sehingga kini.

Beliau berkata, angin perubahan yang mula menyerap di kawasan DUN itu sejak beberapa tahun lalu, termasuk kesedaran orang muda terhadap parti Umno dan BN dalam memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara apabila membanjiri majlis anjuran BN dan Umno memberi mesej bahawa PRU ke-13 memberi petanda baik kepada BN.

“Apa lagi yang penduduk DUN ini mahukan kerana segalanya serba lengkap dan tersedia buat mereka. Jadi kita yakin dan berharap 24,310 pengundi berdaftar dalam DUN ini (sehingga 2011 lalu) tidak lagi tersilap langkah pada PRU 13 nanti.

“Kita memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 6,767 isi rumah menerusi tujuh fasa pengagihan termasuk dua daripadanya proses rayuan yang diserahkan sejak awal tahun lalu. Jika penerima BR1M bersama isteri atau suami masing-masing, tahu erti bersyukur, bermakna lebih 13,000 pengundi sudah memihak kepada BN. Majoriti itu akan memberi kemenangan kepada BN,” katanya.

Selain BR1M, seramai 1,188 penduduk menerima Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat, Dana Hari Raya (6,600 penerima), Dana Remaja (2,400 penerima) serta lebih 200 penerima bantuan cermin mata.