Halaman

08 June 2012

Kayuhan energetik Fatehah

Oleh: Aida Abd Rahman



Fatehah Mustapa, atlet kelahiran Kampung Langgar, Hulu Terengganu cukup dikenali ramai lantaran keupayaan menempatkan diri selaku pelumba wanita pertama Malaysia dan atlet wanita pertama Terengganu ke sukan Olimpik London yang bakal berlangsung Julai ini.

Dengan nada optimis, atlet yang baru menginjak usia 23 tahun tanggal 12 Mac lalu, nekad mahu menggalas cabaran negara untuk merangkul kedudukan terbaik dalam acara trek berbasikal di temasya terulung dunia itu.

“Saya mahu menang dulu di peringkat awal, seterusnya menempatkan diri ke pusingan akhir. Selepas itu mudahlah untuk memburu kemenanngan..Apa-apapun, saya nekad untuk melakukan yang terbaik walaupun persaingannya hebat dan seboleh-bolehnya mahu muncul atlet wanita pertama membawa pulang emas untuk negara.




"Di London nanti saya terpaksa bersaing dengan pelumba handalan dunia, antaranya jaguh Britain yang juga idola saya, Victoria Pedleton, yang sebelum ini banyak menjuarai perlumbaan besar dunia,"” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Selaku pelumba kedua terbaik Asia di belakang pelumba China, Guo Shuang, reputasi anak ke keenam daripada lapan beradik itu semakin membuka mata semua dan menjadi bualan ramai, apatah lagi menjadi atlet negara yang terawal menempah nama ke slot Olimpik London.

Nama atlet wanita yang berjaya menerobos dominasi kaum lelaki dalam sukan lasak itu terus popular selepas meraih kejayaan demi kejayaan. Malah impak paling dirasai apabila merangkul pingat emas pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Kuala Lumpur Februari lalu.

Beliau merupakan peserta wanita pertama negara yang memenangi pingat emas sejak ACC diperkenalkan pada 1963 sekaligus menjadi tiket melayakkan pelumba elit negara untuk beradu di Olimpik London 2012.

Fatehah yang menerima latihan secara intensif dan padu di bawah bimbingan John Beansley yang kini berpangkalan di Melbourne, Australia pernah dinobatkan Olahragawati Terbaik Sukan Malaysia (Sukma) Kedah 2006, Olahragawati Terengganu 2007 dan 2010 serta Atlet Wanita Terbaik Karnival Krismas Australia 2008.

“Sukma Kedah antara platform yang melonjak pembabitan saya dalam acara kegemaran saya ini. Di kejohanan itu, saya meraih enam emas sekaligus menobatkan saya selaku atlet wanita terbaik Sukma berkenaan.

“Sebelum Sukma Kedah, saya berpeluang mewakili Terengganu di Sukma Negeri Sembilan 2004 dan penyertaan pertama itu menghasilkan sebutir pingat emas dan perak pada acara lebuh raya,” katanya.

Kayuhan energetik pemegang rekod kebangsaan menerusi acara 200 meter pecut dengan catatan masa 11.866 saat dan 500 meter ujian masa (35.989 saat) itu turut mengetuai kejayaan skuad berbasikal trek negara membolot tujuh pingat emas, tiga perak dan satu gangsa di Sukan Sea Indonesia ke- 26 tahun lalu.

Malah, ratu basikal trek negara berpewatakan penuh tenaga dan berani yang mula serius dengan acara berbasikal sebaik memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil pada 2000 itu turut merangkul tiga emas menerusi acara 500 meter ujian masa individu, pecut dan pecut berpasukan ketika bergandingan dengan Ju Pha Som Net.

Pun begitu, Fatehah yang menduduki tempat kelima Kejohanan Dunia di Belanda Mac tahun lalu sepatutnya boleh menambah satu lagi koleksi emas, namun kekangan tayar pancit ketika beraksi dalam acara Scratch menutup peluang itu.

Menyingkap sisi berbeza, tidak banyak kenangan perihal basikal yang boleh dikongsi, melainkan peristiwa beliau mengayuh kenderaan dua roda itu untuk pergi ke sekolah bersama rakan-rakan setiap hari.

"Masa zaman sekolah, saya sebenarnya terlebih dahulu aktif dalam sukan badminton, acara balapan dan trek, bola baling dan bola jaring. Sukan basikal hanya muncul sebaik melangkah ke sekolah menengah," kata bekas murid Sekolah Kebangsaan Kampung Langgar, Kuala Berang itu.

Menyedari, dunia sukan bukan selama-lamanya mampu ditawan, Fatehah akur yang dia harus memilih bidang lain yang lebih terjamin apabila tiba usia persaraan nanti.

Malah, atlet yang menanam hasrat meneruskan pengajian peringkat sarjana muda dalam bidang perniagaan itu menjadi penerima ketiga biasiswa Yayasan Sime Darby bernilai RM400,000 bagi merealisasikan hasratnya menyambung pengajian di Universiti Victoria, Melbourne bermula September depan.

Beliau merupakan pelumba basikal kedua negara yang menerima biasiswa selepas pelumba yang menerima jolokan `The Rocket Pocketman’, Azizulhasni Awang dianugerahkan biasiswa serupa bernilai RM456,000 untuk menyambung pelajaran di Melbourne dalam bidang Pengurusan Sains Sukan.

"Saya pastinya tidak akan melepaskan peluang menikmati nasi dagang apabila pulang ke kampung halaman, khususnya yang disediakan ibu saya sendiri. Setakat ini rasanya tiada hidangan lain di dunia yang setanding dengan air tangan ibu," tutur atlet yang gemar mendengar muzik dan mengumpul ramai rakan dari serata dunia, selain memiliki lebih 4,400 rakan menerusi akaun facebook peribadinya.