Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu merekod jumlah pengundi yang belum mendaftar paling rendah apabila hanya mencatat seramai 46,000 orang berbanding 3.65 juta keseluruhan pengundi yang gagal berbuat demikian di seluruh negara, sehingga kini.
Timbalan Pengerusi SPRM, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata daripada jumlah itu, negeri yang mencatat jumlah pengundi yang belum mendaftar paling tinggi adalah Selangor (kira-kira 600,000 orang), Johor (kira-kira 500,000), Wilayah Persekutuan (kira-kira 350,000), Kelantan (kira-kira 200,000).
“Terengganu dikenalpasti negeri yang mencatat jumlah pengundi paling kecil yang gagal mendaftar. Jadi nampaknya rakyat Terengganu memang peka untuk mendaftar dan menggunakan hak mereka untuk mengundi pada pilihan raya,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.
Datuk Wira Wan Ahmad berkata, SPR merekodkan 611,583 pengundi berdaftar di seluruh Terengganu dengan jumlah pertambahan pengundi baru selepas PRU12 sehingga kini berjumlah kira-kira 100,000 pengundi dengan 35 peratus daripadanya merupakan pengundi muda.
Katanya, Terengganu yang mempunyai lapan bahagian pilihan raya bagi Parlimen dan 32 bahagian Dewan Undangan Negeri , turut membuka 355 pusat mengundi yang melibatkan 1,212 saluran pusat mengundi.
Selain itu, Datuk Wira Wan Ahmad berkata, daripada 16.5 juta warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas dan layak mengundi, seramai 3.65 juta daripada mereka belum mendaftar sebagai pengundi.
“Sehingga kini, seramai 12,912,590 juta pengundi berdaftar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, SPR menjangkakan hampir dua juta terdiri daripada pengundi baru yang pertama kali mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.
“Daripada hampir dua juta pengundi baru yang pertama kali (mengundi) ini , kita dapati 35 peratus sahaja pengundi yang dianggap sebagai orang muda..belia, iaitu 35 tahun ke bawah. Jadi, kini baru SPR tahu rupa-rupanya ramai lagi orang yang berusia 35 tahun ke atas yang baru mendaftar buat pertama kali. Sebab itulah, maka di negara kita sekarang masih ada 3.5 juta rakyat yang belum mendaftar,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang belum mendaftar supaya segera berbuat demikian kerana apabila mereka mendaftar pada hari ini serta nama mereka diwartakan sebagai pengundi pada Ogos, maka secara automatik mereka boleh mengundi sekiranya PRU13 berlangsung selepas Ogos.
“Kalau tidak diduga Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kita tidak tahu kerana ia terpulang kepada kuasa Perdana Menteri, akan sembah perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong (bila) kita tidak tahu. Tetapi mengambil kira tempoh masa yang kita perlu kalau hendak mengadakan pilihan raya sebelum bulan puasa , maka Parlimen perlu bubar dalam bulan Jun.
“Tetapi jika Parlimen tidak dibubarkan pada bulan Jun, maka faham-fahamlah..,” katanya.
Menurutnya, SPR yang menjangkakan aktiviti PRU13 lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas pilihan raya, selain mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing berdasarkan penerangan dan taklimat yang diberikan oleh SPR.