Halaman

03 June 2012

Litar untuk `mat rempit' beraksi

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha menangani masalah kegiatan lumba haram di kalangan generasi muda di negeri ini, kerajaan negeri bakal membina sebuah litar lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu tahun depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kewujudan litar lumba tersebut diharap dapat mengatasi masalah kegiatan mat rempit yang berlumba secara haram dan sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, selain itu, ia juga merupakan langkah pertama negeri Terengganu untuk mencungkil lebih ramai bakat baru dalam sukan permotoran, sekali gus melahirkan pelumba profesional yang mampu menaikkan nama negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi.

“Mat rempit tidak seharusnya menjadikan jalan raya sebagai tempat mereka menunjuk aksi dan bakat kerana ia membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. Sudah tiba masanya mereka membuktikan kehebatan menunggang motosikal dengan berlumba di litar yang kita sediakan ini.



“Mana tahu, satu masa nanti mereka boleh bergelar jaguh dalam sukan permotoran dan menjadikan Terengganu sebagai tempat melahirkan pelumba motosikal handal satu hari nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran program Evolusi R di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam semalam (2 Jun).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden Rempit United Encik Wazi Abdul Hamid.

Pada majlis itu, kira-kira 5,000 orang memenuhi perkarangan program bagi menyaksikan acara perlumbaan motosikal serta konsert hiburan melibatkan artis terkemuka negara.



Menteri Besar berkata, litar lumba berkenaan bakal dibina berdasarkan piawaian litar lumba yang biasa bagaimanapun kemudahan itu bergantung kepada keluasan tapak di lokasi berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti di kitar itu secara berkala pada setiap minggu bagi menarik penyertaan golongan belia dan kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya sekali gus menangani masalah lumba haram di jalan raya.