Menjelang pilihan raya umum ke-13 merupakan musim pemimpin pembangkang menabur janji yang disifatkan Pengerusi MCA Kemaman, Teo Nyon Foy sebagai 'khayal' bagi meraih undi.
Beliau mengingatkan rakyat khususnya masyarakat Cina supaya tidak terjerumus dalam dunia politik yang 'tersasar' berikutan sikap pemimpin Pakatan Rakyat yang lebih banyak bercakap berbanding berfikir.
Katanya, janji yang ditabur pemimpin pembangkang diibaratkan seperti melepaskan ratusan 'burung emas' di langit yang hanya menjadi bahan tontonan dan bukan untuk dimiliki.
"Kerajaan Barisan Nasional sudah ada rekod yang baik mentadbir negeri dan negara. Parti kita diibaratkan sudah ada burung di tangan walaupun seekor.
"Satu ekor burung di tangan lebih baik daripada seratus ekor burung emas yang bebas di langit. Kita hanya mampu melihat, jauh sekali untuk memiliki," katanya pada majlis makan malam sempena Sambutan Hari Ibubapa di Dewan Seri Amar, Chukai hari ini.
Program anjuran MCA Bahagian Kemaman itu dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamad Awang Tera.
Tambah Nyon Foy, pemimpin Pakatan Rakyat tiada pilihan lain melainkan menabur 'janji-janji besar' bagi menandingi rekod Barisan Nasional membawa kemakmuran ekonomi kepada negeri dan negara.
"Saya menasihatkan masyarakat Cina, Tiong Hua tidak mudah dibeli dengan janji-janji yang kita sendiri tidak pernah dengar dan jangka," kata beliau.