Halaman

14 June 2012

Pemimpin Pas sanggup letak kepentingan parti paling atas.

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyifatkan sikap pemimpin Pas yang bercelaru dan terkeliru kerana sanggup meletakkan kepentingan parti politik melebihi perkara-perkara lain.

Katanya, hanya kerana ingin memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) sanggup minta tangguh untuk menunaikan Rukun Islam Kelima merupakan satu perkara sangat mengelirukan.

“Apakah kita sanggup tanggung dosa orang, kerana halang mereka pergi ke Makah untuk tunai haji semata-mata kerana nak mengundi,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas laporan beberapa akhbar dan media elektronik sebelum ini yang menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi PRU Ke 13.

“Lagipun yang pergi menunaikan haji itu bukan semua orang Pas, malah orang UMNO lebih ramai saya rasa,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Pesatuan Guru Kafa Terengganu (Perkat) di Wisma Darul Iman hari ini (14 Jun).

Menteri Besar kesal dengan kenyataan pemimpin Pas yang didakwa tahu dalam hukum hakam agama tetapi sering bercakap bersandarkan hukum politik yang dicipta.





Sedia bantu petani tanam pokok petai belalang-MB

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri akan menanam pokok Petai Belalang atau nama saintifiknya Leucaena leucocephala dan Acacia Mangium bermula bulan depan bagi menampung keperluan Kompleks Biopenapisan di Taman Polimer, Kertih.

Bagi tujuan itu, sejumlah 30,000 hektar tanah disediakan di mana ia mampu menghasilkan 10.5 juta tan metrik cip kayu dari pokok itu pada setiap tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sekiranya projek itu berjaya dan menguntungkan, kerajaan negeri akan sarankan petani di negeri ini menanam pokok berkenaan dengan menyediakan tanah untuk mereka antara tiga hingga lima hektar seorang.

“Kita akan galakkan mereka menanam pokok-pokok berkenaan kerana Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia ini memerlukan bahan mentah itu dalam kuantiti yang banyak untuk menghasilkan produk-produk terbitan bio (bioderivatif) seperti karbohidrat lanjutan, biokimia, biobahan, biobaja dan ramuan suapan aktif.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama bagi pembangunan Kompleks Biopenapisan antara kerajaan negeri Terengganu dengan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp) di Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis itu, kerajaan negeri diwakili Setiausahanya Datuk Mazlan Ngah manakala ECERDC oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Jebasingam Issace John manakala BiotechCorp diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata pembinaan Kompleks Biopenapisan terbesar di Asia di kawasan seluas 1,000 hektar itu bermula bulan depan dan dijangka siap dan beroperasi pada 2014.

“Taman Biopolimer Kertih merupakan antara projek utama Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ) yang menawarkan peluang pelaburan dan sinergi yang meluas kepada peserta industri bioteknologi.

“Kedudukannya yang berhampiran dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih milik Petronas membolehkan pembekalan produk secara bersilang antara kedua-dua kompleks yang pada masa sama menawarkan ekonomi yang menguntungkan bagi pembekalan utiliti dan logistic,”katanya.



Kerajaan cadang tambah perisian e-Book bagi Kelas Kafa

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Kerajaan negeri becadang untuk menambah beberapa mata pelajaran ke dalam sistem e-Book pelajar Tahun Empat dan Lima untuk kegunaan Kelas al-Quran dan Kelas Fardu Ain (Kafa).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, cadangan itu akan dibincangkan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana Kafa berada di bawah pengurusan Kerajaan Pusat dan ia membabitkan kos tambahan bila ia dilaksanakan.


“Semua pelajar kelas Kafa tidak perlu dibekalkan dengan e-Book baru kerana semua sudah ada (kemudahan itu), cuma memerlukan beberapa tambahan ke dalam sistem buku digital itu,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Guru Kafa Negeri Terengganu (Perkat) di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Haji Alias Jaafar dan Timbalan Pengerusi Perkat, Ustaz Mohamad Husin.

Menteri Besar gembira kerana pelajar negeri ini telah mencatatkan kejayaan empat tahun berturut sebagai negeri terbaik seluruh negara pelajar paling ramai mendapat gred A dalam peperiksaan yang diadakan.

“ Tahun lepas seorang pelajar kita dari kelas Kafa di Setiu telah mendapat markah 799/800 dan muncul pelajar terbaik negara dalam peperiksaan Kafa,” katanya.


Katanya, kerajaan akan terus memperkasakan pengajian kelas Kafa dan bersedia memberi tambah nilai dar semasa ke semasa.

Kini terdapat 422 kelas Kafa di seluruh negeri dengan 3,258 tenaga pengajar serta 74,629 orang pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan di balai-balai raya seluruh negeri.

Manakala tahun lalu seramai 20,133 pelajar kelas Kafa telah khatam al-Quran dan 3,200 daripadanya telah khatam menggunakan e-Book dan telah berjaya direkodkan dalam Malaysia Book Of Record.





Pas terdesak, minta tangguh ibadah haji

Oleh: Suriati Ali

Umno Terengganu menyifatkan Pas sudah lari daripada asas penjuangan mereka apabila sanggup mengutamakan agenda politik berbanding agama apabila meminta ahli parti itu menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13.

Laporan beberapa akhbar dan media elektronik sebelum ini menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji bagi menghadapi PRU Ke 13.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Yahya Khatib, berkata kenyatan yang dilemparkan itu, seolah-olah kurang cerdik dan tidak berfikir sebelum membuat kenyataan.

Katanya, sangat tidak wajar, jika semua perkara hendak dipolitikkan, termasuk berkaitan ibadah haji.

“Ibadah haji ini perkara wajib perlu dilaksanakan sekiranya seseorang itu kemampuan, dan tidak boleh ditangguh tanpa sebarang alasan munasabah sekiranya sudah terpilih untuk menunaikannya.

Ketua Penerangan Perhubungan Umno Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata Pas sanggup menghalalkan apa jua perkara jika membawa keuntungan kepada parti itu walaupun pada hakikatnya merugikan umat Islam.

“Gesaan seumpama ini tidak sepatutnya berlaku jika Pas benar-benar ingin mendaulatkan syiar Islam.

“Kita bukannya berada dalam keadaan darurat sehingga terpaksa seseorang iru membatalkan niat untuk melakukan perkara mulia di sisi Allah S.W.T,” katanya.


Terengganu juara berganda bola sepak MSSM 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu muncul juara berganda dalam pertandingan akhir bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi kategori bawah 12 tahun dan bawah 18 tahun yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 hingga 9 Jun lalu.

Pertemuan akhir menentang Sabah menyaksikan pasukan Penyu bawah 12 tahun itu berjaya mengakhiri perlawanan dengan kemenangan tipis, 1-0, sementara bawah 18 tahun mengalahkan jiran tetangga, Kelantan juga dengan mata 1-0.

Sebelum itu, pasukan bawah 12 yang berada dalam kumpulan C bersama Kedah, Sarawak dan Perak berjaya menyingkirkan Pulau Pinang dengan perbezaan satu gol dalam pertemuan separuh akhir sebelum melangkah ke slot akhir bertemu Sabah.

Manakala bawah 18 tahun pula menyaksikan Terengganu berjaya memusnahkan hajat pasukan Pulau Pinang pada persaingan separuh akhir dengan tiga jaringan tanpa balas, di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria.




Manis FM medium alternatif baru salur maklumat, perkembangan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu mewujudkan saluran radio baru, Manis FM sebagai medium alternatif bagi menyampai maklumat secara tepat dan terkini mengenai perkembangan negeri kepada seluruh rakyat tempatan dan juga Pantai Timur khasnya.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata melalui radio yang diuruskan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Incorperated (TI) lebih banyak maklumat mengenai kerajaan dapat disalurkan secara terus kepada sasaran pendengar.

“Insya-Allah bukan sahaja pelancaran (Manis FM) akan dilakukan pada Julai ini, malah pelbagai program akan dilaksanakan menerusi Manis FM dari masa ke semasa.

“Kita sudah mengatur program melibatkan pegawai kanan kerajaan negeri, pegawai daerah, dan agensi tertentu yang akan dijemput (ke udara) termasuk barisan exco untuk mencerita perkembangan portfolio, perancangan masa depan kerajaan supaya dihebah kepada rakyat Terengganu dan Pantai Timur,” katanya di sidang akhbar selepas mengadakan lawatan dan menjadi tamu radio itu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda; Timbalan Pegawai Kewangan negeri, Haji Abd Rahman Yahya; Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd dan Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman.

Dalam temuramah kira-kira 45 minit itu, Menteri Besar menyentuh mengenai projek pembangunan di Tasik Kenyir dan harapan kerajaan negeri terhadap golongan muda supaya memberi sokongan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak program serta projek untuk kesejahteraan rakyat dilaksanakan pada masa depan.

Beliau turut mengingatkan rakyat Terengganu supaya mengubah sikap dalam aspek penjagaan kebersihan, selain pelbagai pendekatan yang digembleng kerajaan bagi memastikan negeri ini sentiasa bersih dan menjadi tarikan pelancong, sekaligus menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013.

Manis FM menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ merangkumi pelbagai segmen termasuk hiburan dan agama menemui pendengar 24 jam setiap hari.

Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6 fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).




50 peratus ahli Belia 4B Terengganu tidak sertai parti politik

Oleh FAUZI MOHD

Kira-kira 50 peratus daripada 10,000 anggota Gerakan Belia 4B di seluruh Terengganu setakat ini tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik.

Timbalan Pengerusinya, Mohd Iskandar Jaafar berkata pihaknya kini giat mengadakan pelbagai program turun padang untuk memberi penerangan kepada belia mengenai pengaruh mereka terhadap politik Malaysia.

"Walaupun tidak menyertai mana-mana parti politik, ini tidak bermaksud belia tidak mengikuti perkembangan politik semasa, cuma pendekatan lain perlulah diambil supaya mereka turut terlibat sama dalam arus politik perdana.

"Gerakan Belia 4B Terengganu juga turut menggunakan media baru siber termasuk facebook, twitter dan blog untuk memberi penerangan kepada mereka betapa pentingnya menyokong kerajaan yang memerintah pada hari ini," katanya semalam.

Sehingga kini terdapat lebih 90,000 belia dan 30 persatuan belia di seluruh Terengganu dan daripada jumlah itu, 10,000 menjadi anggota Gerakan Belia 4B Terengganu.


13 June 2012

Kompleks Biopenapisan RM170 juta di Taman Biopolimer, Kertih

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Projek pembangunan Kompleks Biopenapisan di Taman Biopolimer, Kertih jelas membuktikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Terengganu sebagai destinasi pelaburan unggul, dinamik dan kompetitif sekaligus mampu bersaing di peringkat global.

Taman Biopolimer kini berjaya menarik kedatangan pelabur seperti Hi-Essence Cable Sdn Bhd, MIE Copper Sdn Bhd dan CJ Arkema, masing-masing dengan pelaburan berjumlah melebihi RM2 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, apa yang membanggakan, terdapat beberapa syarikat lagi, termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat turut menyatakan minat untuk melabur di lokasi sama.

Katanya, perkembangan positif itu mampu menjadikan Taman Biopolimer sebagai hab industri bioteknologi di peringkat antarabangsa serta menaikkan imej Terengganu di mata dunia.

“Terengganu kini semakin dikenali sebagai sebuah negeri yang bijak menarik minat kedatangan pelabur ternama di dalam industry produk bio.

“Justeru itu, penubuhan komplek s ini adalah ideal bagi menarik kemasukan lebih banyak teknologi produk bio ke negeri ini, secara tidak langsung mampu memberi manfaat dan menjana pendapatan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Pembangunan Kompleks Bioenapisan di Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian berkaitan itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang mewakili kerajaan Terengganu manakala BiotechCorp telah diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr Mohd Nazlee Kamal dan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jebasingam Issace John.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Pembinaan Kompleks Biopenapisan dijangka bermula Ogos nanti dan akan beroperasi mulai awal 2014 itu membabitkan anggaran kos kira-kira RM170 juta.

Penubuhan kompleks yang diuruskan ECERDC merupakan satu mercu kejayaan membanggakan kerana dijangka mampu menjana peroleh sebanyak RM1 trilion dan mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia menjelang 2013.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dengan jangkaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah RM6.8 bilion, kompleks yang terletak di kawasan seluas 1,000 hektar di taman itu dijangka akan diduduki oleh lapan penggiat industry bioteknologi perindustrian menjelang 2015.

“Bagi memastikan kelancara projek hiliran, sejumlah 30,000 hektar tanah telah disediakan untuk pembangunan ladang bahan mentah yang akan menghasilkan 1.5 juta tan metrik cip kayu setiap tahun daripada pokok petai belalang atau nama saintifiknya acacia mangium,” katanya.




YPM peruntukan RM1 juta dana pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukan hampir RM1 juta untuk melaksanakan Program Tranformasi Kecemerlangan Modal Insan (PTKMI) di seluruh negara tahun ini.

Ketua Seksyen Dana Pendidikan Pembangunan Modal Insan YPM, Encik Abdul Shukor Ibrahim berkata, jumlah dana tahun ini sedikit berkurang daripada tahun lalu tapi setiap negeri masih berpeluang untuk mendapat nikmat daripada program yang dijalankan bagi meningkatkan ilmu akademik para pelajar.

“Tahun lalu YPM memperuntukan RM2 juta untuk program yang sama membabitkan 100,000 pelajar dan tahun ini kira-kira 50,000 lagi akan mendapat manfaat berkenaan,” katanya kepada pemberita di majlis Penutup PTKMI Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad , Kuala Terengganu hari ini (13 Jun).

Pengarah Pelajaran negeri, Encik Zakaria Husin melakukan perasmian penutup program. Hadir sama Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad dan Pengetua SMK Sultan Ahmad, Hajah Wan Azizah Wan Mustapha.

Katanya, melalui dana ini YPM menyasarkan 100 program dapat dilaksanakan dan tumpuan kepada pelajar yang akan menduduki tiga peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Setiap program yang dijalankan seimbang antara akademik dan sahsiah serta berdasarkan permintaan pihak sekolah terhadap mana-mana mata pelajaran yang lemah di sekolah terbabit,” katanya.

Menurutnya, ada negeri memerlukan tumpuan kepada subjek matematik dan sejarah manakala negeri yang lain pula subjek bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Melalui program sebegini pelajar akan didedahkan mengenai teknik belajar berkesan ke arah mempersiapkan diri mencipta kecemerlangan di samping dapat melahirkan golongan muda yang yakin kepada potensi diri dan melihat setiap halangan itu sebagai cabaran yang harus dirempuh,” katanya.





Terengganu jalin kerjasama tubuh kompleks bioenapisan

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Kerajaan negeri menjalin kerjasama strategik antara Malaysian Biotechnologi Corporation (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) bagi membangunkan kompleks bioenapisan terbesar di Asia.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian berkaitan itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang mewakili kerajaan Terengganu manakala BiotechCorp telah diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr Mohd Nazlee Kamal dan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jebasingam Issace John.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi saksi pada majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pembinaan Kompleks Bioenapisan di Taman Biopolimer,Kertih itu dijangka bermula Ogos ini dengan anggaran kos kira-kira RM170 juta.

Penubuhan kompleks yang diuruskan ECERDC merupakan satu mercu kejayaan membanggakan kerana dijangka mampu menjana peroleh sebanyak RM1 trilion dan mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia menjelang 2013.