Halaman

27 June 2012

Muzium Terengganu adakan festival kebudayaan Jepun

Oleh; Esah Abdullah

Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama Yayasan Jepun Kuala Lumpur akan menganjurkan Festival Mini Kebudayaan Jepun bertempat di Muzium Negeri Bukit Losong pada 30 Jun hingga 2 Julai depan.

Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pelbagai aktiviti kebudayaan Jepun disediakan untuk para pengunjung seperti demontrasi Yukata (kimono musim panas) serta bengkel Origami (seni lipatan kertas).

“Turut diadakan sesi pelajaran bahasa Jepun, tayangan filem dan banyak lagi aktiviti yang akan diketengahkan sepanjang tiga hari festival berlangsung ,” katanya.

Katanya, festival ini diharap dapat menarik minat pengunjung pelbagai kaum dan lapisan umur terutama yang berada disekitar bandar ini untuk mengenali lebih dekat budaya masyarakat Jepun.

Orang ramai yang ingin mendalami adat budaya negara matahari terbit itu dijemput hadir beramai-ramai. Masuk adalah percuma.





26 June 2012

UMT sedia RM1.2 juta untuk penyelidik

Oleh: Suriati Ali

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperuntukkan tambahan kira-kira RM1.2 juta sepanjang tahun ini, bagi membantu 80 penyelidik supaya terus aktif membuat kajian dan berupaya mempertingkatkan kepakaran dalam bidang masing-masing.

Melalui peruntukan itu, setiap penyelidik layak memohon antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung kepada keperluan bahan kajian dan kertas kerja yang disediakan.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Ibrahim Komoo, berkata peruntukan itu disediakan sebagai tambahan kepada dana yang disumbangkan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi tujuan sama.

“KPT ada menyalurkan sumbangan RM10 juta pada tahun lalu, bertujuan mempertingkatkan kualiti kajian dan inovasi.

“Tindakan kementerian itu juga selaras dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN),” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Malim Ilmu, di Taman Tamdun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Prof Dr Noor Azhar Mohamed dan Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan & Inovasi), Dr Norhayati Moh Tahir.

Pada majlis itu, Prof Madya Dr Nora’aini Ali dianugerahkan Saintis Tahunan Terbaik dan Dr Ikmar Nizam Mohammad Isa pula mengondol anugerah Saintis Muda Terbaik.

Manakala 133 penyelidik lagi menerima anugerah Penerbitan Artikel Jurnal Berwasit sempena majlis yang diadakan kali ke-5 itu.

Buku Panduan dan Etika Penyelidikan UMT turut dilancarkan sebagai panduan dan tunjuk ajar kepada prinsip-prinsip umum bagi menjalankan penyelidikan yang beretika sesuai dengan pronsip umum bagi menjalankan penyelidikan terhadap manusia, tumbuhan dan haiwan.

Prof Datuk Dr Ibrahim turut memberitahu pecapaian dalam penyelidikan yang ada sekarang merupakan asas kukuh untuk terus bergerak ke depan ke arah mencapai matlamat menjadi sebuah universiti bermutu dalam menghasilkan karya penyelidikan.

“Kejayaan lebih cemerlang boleh dicapai sekiranya, penyelidik mampu mengekalkan iltizam untuk mencapai sasaran seperti yang digariskan dalam pelan strategi universiti,” katanya.




300 lagi pasangan dipilih sertai Bulan Madu Kedua

Oleh FAUZI MOHD.

Program 'bulan madu kali kedua' kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah dijadikan program bulanan dengan sasaran 300 pasangan menyertai program itu bermula tahun ini.

Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, langkah itu dibuat berdasarkan sambutan menggalakkan para peserta di samping mampu memulihkan pasangan suami isteri yang ‘bermasalah’ di negeri ini.

Sejak diperkenalkan awal tahun 2010 katanya, seramai 278 pasangan, kebanyakkannya usia perkahwinan mereka lima tahun ke bawah telah menyertai program tersebut yang diadakan di pulau-pulau peranginan seperti Perhentian, Redang dan Langkawi di Kedah.

“Pasangan yang dipilih ialah mereka yang mengalami masalah rumah tangga dan ada yang kritikal sehingga sampai kepada proses permohonan penceraian di Mahkamah Syariah.

“Dengan beberapa modul santai sepanjang tiga hari dua malam program itu, harapan kita hubungan mereka kembali bertaut, seterusnya menyuburkan institusi kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Shafaruddin memberitahu, pada tahun ini, YPKT bercadang mengadakan 10 siri program 'bulan madu kali kedua' dengan penyertaan 30 pasangan suami isteri bagi setiap sesi.

Katanya, program kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Mahkamah Syariah Terengganu itu dapat menyelamatkan institusi keluarga terutamanya pasangan usia perkahwinan masih muda.

Kajian pihak YPKT sendiri jelas beliau, dalam tempoh lima tahun usia perkahwinan banyak berlaku penceraian ekoran pasangan tidak mampu menyesuaikan diri melalui alam baru perkahwinan.

“Fokus kita juga mahu kurangkan jumlah penceraian kerana perkara remeh antara suami isteri serta penglibatan tangan orang ketiga antara menjadi faktor penyebab.

“Sejak lima tahun lalu, sejumlah 11,000 hingga 14,000 pasangan yang berkahwin di Terengganu dan daripada jumlah itu 10 hingga 15 peratus terlibat dalam kes penceraian direkodkan,” ujarnya.



Undi PAS tidak masuk syurga – Ustaz Hassan Basri Mohamad.

Oleh: Mohammad Ishak 

Penyokong PAS diajak mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PR13) kerana mengundi parti Islam itu tidak menjamin masuk syurga sebaliknya mengundi BN memberi lebih kebaikan kepada agama Islam.

Bekas Ketua Penerangan PAS Selangor, Ustaz Hassan Basri Mohamad, berkata penyokong PAS jangan termakan fatwa pemimpin parti itu kerana PAS bukan agama Islam tetapi ia sebuah parti politik.

Malah,katanya, dakwaan pemimpin PAS parti itu memperjuangkan Islam juga tidak benar kerana pemimpinnya sudah banyak melanggar prinsip perjuangan Islam dan menolak Al-Quran yang dijadikan pegangan kepada parti itu.

“Kalau dulu ia menuduh ahli UMNO kafir kerana berkawan dengan rakannya dari MCA dan MIC tetapi parti PAS kini bersekongkol dengan DAP dan apa bezanya antara UMNO dan PAS,” katanya.

Beliau berucap dihadapan 5,000 tetamu pada Ceramah Perdana anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian Besut, di padang Sekolah Kebangsaan Padang Lus, dekat Jertih, malam tadi.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh,yang juga ADUN Jertih, Timbalannya, Nawi Mohamad (ADUN Hulu Besut), Naib Ketua Bahagian, Muhamad Pehimi Yusof (ADUN Kota Putera) dan Setiausaha Bahagian, Dr A Rahman Mokhtar (ADUN Kuala Besut).

Hassan juga mengingatkan umat Islam dan bangsa Melayu akan rugi besar jika memberi laluan kepada Pakatan Rakyat (PR) memerintah Malaysia kerana semua kepentingan Melayu,Agama Islam dan Raja Melayu akan dihapuskan.

Beliau yang sebelum ini turut merangka manifesto Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum ke 12 berkata kerajaan PR Selangor sehingga ini tidak menunaikan 21 janji yang dibuat pilihan raya lalu dan rakyat sepatutnya sedar dengan kegagalan kerajaan Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR).


Artis Budaya MBKT jadi juara Pujaan Muzik Nescafe

Oleh; Esah Abdullah

Artis Budaya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Tuan Izat Izzuddin Tuan Abdul Aziz, 24, muncul juara pada malam kemuncak pertandingan nyanyian Pujaan Muzik Nescafe 2012 yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam baru-baru ini.

Tuan Izat Izzuddin yang berasal dari Felda Mengkawang, Ajil, Hulu Terengganu membawa pulang hadiah lumayan wang tunai sebanyak RM100,000 hasil kemenangan itu.

Beliau merupakan wakil Terengganu setelah menjadi juara di peringkat negeri , mengalahkan lapan finalis dari serata tanah air.

Ternyata lagu tradisional Ghazal Untuk Rabiah yang didendangkan penyanyi Dato’ M.Nasir dan Jamal Abdillah membawa tuah kepadanya.

“Saya akui semua finalis yang bertanding hebat-hebat belaka serta memiliki kekuatan vocal tersendiri, Cuma rezeki berpihak kepada saya dan sebagai finalis saya cuma menyanyi bersandarkan bakat dianugerahkan Allah dengan sebaik mungkin,” katanya.




Pemandu teksi dari Terengganu menang Proton Persona

Oleh; Esah Abdullah

Pemandu teksi berasal dari Terengganu Mohd. Noor Neh telah memenangi sebuah Proton Pesona 1.6 sempena majlis pelancaran program Teksi Rakyat 1Malaysia (TRIMa).

Majlis pelancaran TRIMa berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Bukit Jalil dan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Mohd Noor yang merupakan pemenang utama hadiah cabutan bertuah TRIMa di majlis yang menghimpunkan kira-kira 25,000 pemandu teksi dari seluruh negara.

Menurut kenyataan Jabatan Penerangan, Mohd Noor yang kini menetap di Shah Alam telah menjadi pemandu teksi selama empat tahun dan mempunyai pengalaman luas mengenai selok belok jalan di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman telah menyampaikan hadiah berkenaan kepada Mohd Noor.





Jangan beri ruang kepada pembangkang - Haji Wan Mahyuddin

Oleh: Aida And Rahman

Penduduk diingatkan supaya mengekalkan keharmonian yang ada serta tidak memberi ruang kepada pakatan pembangkang mengganggu-gugat kerukunan hari ini dengan membenarkan puak berkenaan berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata PRU13 yang akan berlangsung tidak lama lagi bakal menjadi penentu jatuh bangun bangsa Melayu di negeri dan negara ini khasnya.

“Masa semakin suntuk, kita harus menilai dan merenung kembali sejarah lalu dan juga perkembangan masa kini, di mana sepanjang 33 tahun Pas mentadbir DUN ini, selain lima tahun pula menjadi Ahli Parlimen, dia (Haji Abdul Wahid Endut) gagal membantu rakyat..Akhirnya JKKK juga ambil berat bukan Adun dan Ahli Parlimen.

“Kalau kita pergi rumah dia memohon bantuan, dia kata dia tiada kuasa. Tetapi tuan-tuan dan puan-puan yakin dan percayalah, dia ada peruntukan yang diterima terus sama ada peringkat DUN mahupun Parlimen, tetapi dia tidak buat, dia tidak membantu rakyat. Malah, dia memperbodohkan kita semua,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Jun).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kubang Parit, Encik Rusli Bidi dan 200 penduduk kampung yang memeriahkan pelbagai acara sempena majlis tahunan itu.

Haji Wan Mahyuddin berkata, kerajaan negeri serta Pusat sudah terbukti menyumbang pelbagai bantuan dan menyediakan kemudahan yang dimanfaatkan seluruh rakyat terutama kepada pelajar seperti bantuan pakaian sekolah , buku teks dan e-Book.

Selain itu, Bantuan Rakyat 1malaysia (BR1M) berjumlah RM500 setiap keluarga, selain dana hari raya, dana remaja, bantuan membaiki rumah dan atap biru.

“Oleh itu, saya merayu dan mungkin ini yang terakhir saya berucap di Kampung Kubang Parit, sebab saya sebutkan tadi bahawa kita akan berdepan dengan PRU13 tidak lama lagi, jadi saya minta supaya semua penduduk pakat pangkahlah `BN’ sekali kali ini bagi membawa angin perubahan di DUN kita,” katanya.






25 June 2012

Sukma 2012 - Dumrong Boomrowd latih skuad petanque raih tiga emas

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Petanque Negeri Terengganu menggunakan khidmat jurulatih dari Thailand dalam usaha meraih emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuantan, Pahang bulan depan.

Setiausaha persatuan itu, Abdul Rani Jusoh berkata jurulatih itu ialah Dumrong Boomrowd, 55, dari Bangkok, pernah melatih pasukan petanque kebangsaan bagi menghadapi Sukan Sea 2003.

"Dia (Dumrong) mula berkhidmat dengan kita pada Oktober tahun lepas secara sambilan," katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, edisi Sukma kali ini persatuan itu benar-benar mengidamkan pingat emas bagi membantu Terengganu kekal juara Sukma.

Katanya, pencapaian terbaik pasukan petanque Terengganu ialah di Melaka dengan dua perak.

"Sukma kali ini menawarkan 11 pingat emas dan Terengganu akan menyertai semua acara yang dipertandingkan dengan sasaran tiga emas berdasarkan pencapaian semasa pemain-pemain," ujarnya.


Sukma 2012 : Bola tampar optimis lakar sejarah kutip emas pertama

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bola Tampar Negeri Terengganu (Tava) optimis memberi saingan sengit bagi merangkul pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang akan berlangsung di Pahang bermula 7 hingga 16 Julai ini.

Setiausaha Tava, Mohd Nasir Yusof berkata keyakinan itu berdasarkan pencapaian pemain pasukan lelaki yang begitu memberangsangkan dalam kejohanan bola tampar yang diadakan sebelum ini.

"Saya yakin berdasarkan rekod kejohanan yang disertai sejak Mac lalu, antaranya bawah 19 tahun kebangsaan apabila Terengganu menjadi juara, kita mampu membawa sinar ini ke Sukma di Pahang," katanya hari ini.

Mohd Nasir berkata, Tava akan menampilkan pasukan terbaik bagi memastikan sasaran untuk merangkul pingat emas pertama, sekali gus membantu kontingen Terengganu mencapai sasaran mengutip 47 pingat emas akan tercapai.

Beliau berkata, bagi memantapkan pasukan Terengganu, Tava mengambil langkah drastik memindahkan gelanggang latihan ke Shah Alam, Selangor dengan mengadakan latihan intensif di bawah kendalian bekas penolong jurulatih kebangsaan, Zulkifli Azmi.

"Berdasarkan undian pasukan yang dijalankan baru-baru ini, Terengganu ditempatkan dalam kumpulan B bersama-sama Selangor, Pahang, Perlis, Wilayah Persekutuan dan Sabah," ujarnya.


UMT anjur Program Kesedaran Pemuliharaan Penyu

Kelab UNESCO Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan Program Pemuliharaan Penyu di Dataran Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT, pada 26 Jun ini (Selasa).



Program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan pemuliharaan penyu bagi mengelakkan kepupusan haiwan tersebut di masa depan.

Antara aktiviti yang diadakan sempena program itu ialah pertandingan mewarna, pameran dan tayangan video penyu.
Pameran penyu akan diadakan dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang.