Oleh: Aida And Rahman
Penduduk diingatkan supaya mengekalkan keharmonian yang ada serta tidak memberi ruang kepada pakatan pembangkang mengganggu-gugat kerukunan hari ini dengan membenarkan puak berkenaan berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, berkata PRU13 yang akan berlangsung tidak lama lagi bakal menjadi penentu jatuh bangun bangsa Melayu di negeri dan negara ini khasnya.
“Masa semakin suntuk, kita harus menilai dan merenung kembali sejarah lalu dan juga perkembangan masa kini, di mana sepanjang 33 tahun Pas mentadbir DUN ini, selain lima tahun pula menjadi Ahli Parlimen, dia (Haji Abdul Wahid Endut) gagal membantu rakyat..Akhirnya JKKK juga ambil berat bukan Adun dan Ahli Parlimen.
“Kalau kita pergi rumah dia memohon bantuan, dia kata dia tiada kuasa. Tetapi tuan-tuan dan puan-puan yakin dan percayalah, dia ada peruntukan yang diterima terus sama ada peringkat DUN mahupun Parlimen, tetapi dia tidak buat, dia tidak membantu rakyat. Malah, dia memperbodohkan kita semua,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana di Kampung Kubang Parit, Kuala Terengganu, kelmarin (23 Jun).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kubang Parit, Encik Rusli Bidi dan 200 penduduk kampung yang memeriahkan pelbagai acara sempena majlis tahunan itu.
Haji Wan Mahyuddin berkata, kerajaan negeri serta Pusat sudah terbukti menyumbang pelbagai bantuan dan menyediakan kemudahan yang dimanfaatkan seluruh rakyat terutama kepada pelajar seperti bantuan pakaian sekolah , buku teks dan e-Book.
Selain itu, Bantuan Rakyat 1malaysia (BR1M) berjumlah RM500 setiap keluarga, selain dana hari raya, dana remaja, bantuan membaiki rumah dan atap biru.
“Oleh itu, saya merayu dan mungkin ini yang terakhir saya berucap di Kampung Kubang Parit, sebab saya sebutkan tadi bahawa kita akan berdepan dengan PRU13 tidak lama lagi, jadi saya minta supaya semua penduduk pakat pangkahlah `BN’ sekali kali ini bagi membawa angin perubahan di DUN kita,” katanya.