Halaman

24 June 2012

Bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu desak Anwar jujur beri penjelasan

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa memberi penjelasan mengenai pemilikan aset, saham dan wang bernilai jutaan ringgit yang didakwa dimiliki Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali.

Bekas Ketua Pemuda PKR Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu membuktikan kepada rakyat kesanggupannya bekerjasama dengan memberi penjelasan berhubung dakwaan tersebut dan bukannya terus berdiam diri.

"Jika Anwar jujur, beliau pasti akan bekerjasama menjelaskan mengenai perkara itu.

"Selain itu, kita mahu siasatan mengenai RM3 bilion dibuat mengikut komponen dengan siasatan komponen pertama dimulakan terhadap dakwaan pemberian wang kepada Azmin dan isterinya, Shamsidar Taharin," katanya semalam.

Beliau mengulas pendedahan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid serta dakwaan ahli perniagaan, Ummi Hafilda Ali bahawa beliau menyimpan dan memiliki bukti-bukti baru berhubung pemilikan 20 akaun induk oleh Anwar serta kekayaan abangnya, Azmin.

Jelas Fakhrul Azman, Anwar perlu membuat akuan bersumpah mengenai siasatan komponen pertama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa tujuh hari jika beliau benar-benar tidak bersalah.

"Kita juga minta Anwar memfailkan saman fitnah terhadap bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) Datuk Abdul Razak Idris untuk membuktikan siapa yang bercakap benar dan siapa berbohong," katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan rasa hairannya mengapa Anwar tidak menyaman Abdul Murad berhubung dakwaan itu, sedangkan menyaman beliau sehingga menyebabkan bekas Perdana Menteri berkenaan tidak boleh bercakap apa-apa mengenai perkara tersebut.

Pada masa sama, Dr. Mahathir turut mempersoalkan tindakan berdiam diri Anwar yang tidak menyaman Ummi Hafilda dan Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) yang kini lantang memperjuangkan isu tersebut.