Pemenang anugerah penyelidik menyifatkan penganjuran Majlis Anugerah Malim Ilmu adalah satu pendekatan bijak bagi menguatkan semangat untuk mereka terus menyumbang ilmu.
Penerima Anugerah Saintis Muda Terbaik, Dr Mohd Ikram Nizam Mohammad Isa, berkata anugerah yang diterima itu dianggap sebagai menyokong setia untuk terus mencipta bahan kajian terbaru, sekaligus dapat mengharumkan nama Terengganu di serata negeri malah luar negara.
“Sebelum ini sebanyak 18 artikel jurnal, 34 prosiding dan lebih 30 abstrak diterbitkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya laksanakan semua itu adalah demi minat dan sayangkan kerjaya, tidak rugi untuk kita terus membuat kajian kerana ia banyak memberi manfaat kepada pembangunansejagat” katanya.
Anugerah itu melayakkan Dr Mohd Ikram yang juga Ketua Jabatan Fizik, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UMT membawa pulang wang tunai RM3,500 beserta sijil penghargaan.
Sebelum ini, Dr Mohd Ikram pernah menerima 7 geran penyelidikan bernilai RM539 ribu dan pernah membentangkan kertas kerja di peringkat tempatan dan luar negara.
Pemenang Anugerah Saintis Tahunan Terbaik, Prof Madya Dr Nora’aini Ali, berkata dia terharu kerana projek Aplikasi Teknologi Membran Kimia dan Bio Seperation Area terpilih sebagai pemenang.
Katanya, dia akan berusaha meneruskan kajian terhadap projek itu walaupun terpaksa mengambil masa lama supaya ianya dapat dipaten dan dijenamakan.
“Jika berjaya, ia mampu menjadi sumber pendapatan kepada universiti dan penyelidik,” katanya.