Halaman

24 June 2012

Dana T'Fund bertambah sekali ganda tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan RM1 juta menjadikan jumlah RM2 juta setahun menerusi Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu atau T’Fund bermula tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan meningkatkan tabungan itu bagi menarik lebih ramai penyertaan kaum Bumiputera dalam perniagaan sekali gus melonjak sektor ekonomi Terengganu.

“Terengganu mewujudkan T’Fund yang menyediakan modal pusingan RM1 juta setahun dan tahun depan kita masukkan RM2 juta pula.

“Selain itu, tahun depan juga kita masukkan (dalam Bajet 2013) sebanyak RM20 juta bagi membantu ibu tunggal melibatkan dengan perniagaan kecil-kecilan dansebagainya. Di Terengganu kira-kira 21,000 ibu tunggal yang sesetengahnya jarang kes berpisah dengan suami, suami bertanggungjawab dan hantar belanja anak setiap bulan kerana kebanyakan tidak hantar, anak sendiri tidak mengaku seperti anak sendiri..ini bapa-bapa yang tidak bertanggungjawab. Kesian..kita harus bantu mereka,” katanya baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, menerusi T’Fund YPU sudah mengeluarkan RM13.166 juta untuk 1,795 peminjam pada tahun lalu termasuk RM268,500 yang dibelanjakan bermula Januari hingga Mei lalu.

“Usaha menambah dana itu sebagai suntikan modal bagi mempertingkat dan membangunkan perniagaan di kalangan penduduk Terengganu termasuk Industri Kecil Sederhana (IKS).

“Kerajaan sudah menutup semua ruang yang ada bagi menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan pinjaman supaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk mengubah nasib dan memajukan kehidupan masing-masing. Terpulang kepada individu itu sendiri merebut peluang yang ada ini,” katanya.

T'Fund yang ditubuhkan sejak 2002 membelanjakan kira-kira RM9 juta menerusi tiga skim pembiayaan iaitu Skim Pembiayaan Kecil (SPK), Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF) di mana saiz pembiayaan bagi setiap usahawan mengikut skim itu adalah antara RM2,000 hingga RM50,000.