Halaman

28 June 2012

Tekanan air di Pasar Payang penuhi piawaian SPAN

Oleh; Esah Abdullah

Tekanan air pada paip utama di Pasar Kedai Payang Kuala Terengganu telah melebih piawaian atau standard yang telah ditetapkan olej Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Haji Husain Embong berkata, pihaknya telah membuat ujian terhadap tekanan air di paip utama sebanyak dua kali iaitu pada 26 Jun (5.30 petang) dan 27 Jun (8.30 pagi) berhampiran meter pengguna di pasar berkenaan.

“Kedua-dua ujian itu menunjukkan bacaan tekanan air adalah 20 meter (2 bar) ini telah melebihi piawaian yang ditetapkan oleh SPAN iaitu tekanan air di paip utama mesti berada pada tahap tidak kurang daripada 10 meter (1 bar),” katanya.

Haji Husain berkata demikian sebagai merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian (26 Jun) mengenai aduan peniaga di pasar berkenaan yang menghadapi gangguan air khususnya di bahagian pasar basah (ikan, ayam, daging).

Menurutnya, tekanan air seperti itu, sepatutnya pengguna tidak seharusnya menghadapi masalah gangguan air seperti yang didakwa.

“Kami dapati gangguan ini berkemungkinan disebabkan oleh sistem paip dalaman di premis berkenaan dan penyelenggara paip dalaman di luar bidang kuasa SATU sebaliknya tanggungjawab pemilik premis,” katanya.

Menurutnya, skop tanggungjawab SATU adalah dari loji rawatan hingga ke meter pengguna sahaja dan untuk menyelesaikan masalah berbangkit pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada pemilik premis.