Halaman

28 June 2012

Agih insentif segera sebagai pendorong

Oleh: Suriati Ali

Atlet Sukan Malaysia (Sukma) yang akan beraksi di Pahang Julai ini bakal menerima habuan tambahan berupa wang tunai antara RM100 hingga RM300 sekiranya layak memperoleh pingat.



Insentif segera berupa wang tunai RM300 untuk emas, RM200 (perak) dan gangsa (RM100) itu akan dibayar pada hari pertandingan sebagai pendorong untuk memungut lebih banyak pingat dan penguat semangat kepada rakan lain.

Ganjaran RM5,000 kepada pemenang pingat emas, RM3,000 (perak) dan RM2,000 untuk gangsa yang pernah diumum sebelum ini akan dibayar selepas tamat kejohanan dan kembali ke Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat berkata, reputasi terbaik setelah berjaya mencatat hatrik kejuaraan Sukma pada temasya yang lalu akan dipertahankan kontinjen Terengganu pada Sukma di Pahang, Julai ini.

Terengganu berjaya mencatat hatrik kemenangan ketika menjadi tuan rumah Sukma ke-12 pada 2008, diikuti juara Sukma ke-13 di Melaka (2010) dan Sukma ke- 14 Kuala Lumpur tahun lalu.

Katanya, bagaimanapun, rekod kejuaraan itu mungkin sukar dikekalkan berikutan beberapa acara yang membantu Terengganu merangkul tempat pertama sebelum ini tidak lagi dikekalkan terutamanya sukan kanu yang banyak menyumbang pingat emas.

“Keadaan itu sedikit sebanyak boleh menjejaskan kedudukan Terengganu dalam usaha mengekalkan kejuaraan .



“Satu perkara mudah untuk kita menjadi juara, namun untuk mengekalkan kejuaraan itu kita memerlukan komitmen yang tinggi lebih-lebih lagi kita sudah mencipta hatrik kemenangan,” katanya selepas kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kepada Ketua Kontinjen Sukma, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.



Menurutnya, walaupun kecewa kerana acara kenu tidak diadakan pada Sukma kali ini, namun itu tidak akan mematahkan semangat kontinjen Terengganu dan menganggap ia adalah satu cabaran dalam meraih pingat emas tertinggi sepanjang kejohanan itu berlangsung.