Halaman

25 June 2012

Hutan Lipur Lata Tembakah dilengkapi sistem keselamatan, prasarana RM1juta

Oleh: Aida Abd Rahman

Hutan Lipur Lata Tembakah, Besut sedang giat dinaiktaraf dengan pelbagai prasarana termasuk papan tanda amaran, sistem siren dan papan tanda informasi melibatkan peruntukan RM1 juta bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata Jabatan Hutan Negeri Terengganu dipertanggungjawabkan menyiap projek berkenaan yang dijangka siap penghujung tahun ini.

“Selain kemudahan keselamatan, prasarana lain termasuk menaik taraf 60 lot tempat letak kenderaan, menaik taraf tandas dan bilik mandi serta pencahayaan lampu limpah di tapak perkhemahan, menaik taraf pondok rehat serta menaik taraf tandas awam.

“Bilik persalinan dan tapak permainan kanak-kanak juga dinaiktaraf bagi memberi tarikan dan keselesaan kepada semua pengunjung tanpa mengira usia,” katanya kepada media di pejabatnya, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (24 Jun).

Di majlis itu, beliau turut mengumumkan pelantikan bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Hisamudin Hashim sebagai Ketua Pegawai eksekutif TMT 2013 bagi mengetuai sekretariat itu nanti.

Hutan Lipur Lata Tembakah terletak di Hutan Simpan Pelagat, Daerah Besut mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit turut ditumbuhi pelbagai flora dan fauna serta spesies pokok utama adalah Meranti dan Keruing.

Keunikan hutan lipur ini ialah terdapatnya air terjun bertingkat-tingkat setinggi 50 meter, selain jeram dan kolam-kolam kecil yang amat sesuai untuk bermandi-manda dan berlibur untuk seisi keluarga.

Beberapa kemudahan yang tersedia di situ seperti chalet, tapak perkhemahan, jambatan gantung, pondok informasi dan lorong pejalan kaki.

Lokasi pelancongan ini terletak 25 kilometer (km) dari Pekan Seri Langkap melalui jalan raya Seri Langkap-Lata Payung, manakala dari bandar Kuala Terengganu sejauh 65 km.