Oleh: Aida Abd Rahman
Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedang melaksanakan proses penilaian akhir untuk membuka rangkaian T’Kafe di Perth, Australia dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata permohonan usahawan Terenganu yang menetap di negara Kanggaro itu bakal membuka lembaran baru dalam usaha melebarkan jenama Terengganu ke luar negara dan memperkenalkan produk Terengganu kepada bangsa asing.
“Jika urusan membuka rangkaian baru perniagaan francais di Perth itu menjadi kenyataan sebagaimana dirancang, kita berjaya menambah satu lagi T’Kafe yang menjadikan lapan rangkaian kesemuanya pada tahun ini termasuk di luar negara,” katanya.
Dato’ Mohamed berkata, selain nasi dagang, pelbagai jenis menu tradisi Terengganu akan dijual di T’Kafe itu termasuk otak-otak, paih dan keropok serta barangan kraf buatan Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri melihat potensi cerah untuk memasarkan produk industri kecil sederhana (IKS) keluaran negeri ini melalui T-Kafe itu berikutan terdapat lebih kurang 40,000 masyarakat Melayu tinggal di sana.
Selain itu, Dato’ Mohamed yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah YPU berkata, sehingga kini, YPU memiliki 23 T’Shoppe seluruh negara dengan sasaran 40 unit T’Shoppe akan beroperasi menjelang 2013.
Dalam perkembangan lain, Kompleks Usahawan Terengganu di Kubang Jela, Manir yang menempatkan Kota Batik dan Pasar ICT dengan 44 lot kedai dijangka beroperasi pada 1 Julai ini.
“Kita menyahut seruan YAB Menteri Besar untuk menjadikan KUT sebagai kebanggaan komuniti usahawan serta ikon keusahawanan negeri akan tercapai,” katanya.