Lebih 100,000 pemandu teksi di seluruh negara kini tersenyum lebar selepas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, mengumumkan tiga insentif bagi meringankan beban mereka.
Intensif tersebut ialah:
1. Baucar tukar tayar berjumlah RM520 setahun
2. Perlindungan insurans
3. Rebat lupus teksi lama
Kejutan demi kejutan dilakukan Perdana Menteri sepanjang era pentadbiran beliau yang berpaksikan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sebelum ini, golongan peneroka mendapat ‘durian runtuh’ berupa agihan wang tunai berjumlah RM15,000 bagi setiap keluarga peneroka dan saham dalam Felda Global Ventures Sdn Bhd.
Kini pemandu teksi diberi bantuan berupa baucar menukar tayar berjumlah RM520 setahun selama dua tahun, perlindungan insurans percuma dan rebat lupus teksi lama.
Lagi berita baik untuk mereka apabila Perdana Menteri berjanji akan mengkaji untuk menghapuskan sistem monopoli pajakan di mana pemilikan teksi kini kebanyakannya dimiliki syarikat-syarikat besar.
Kerajaan yang prihatin terhadap nasib golongan pemandu teksi akan menghapuskan sistem pajak teksi yang lebih ke arah bentuk perhambaan moden.
Dengan insentif yang begitu besar disediakan kerajaan kepada pemandu teksi, tentunya Kerajaan Barisan Nasional (BN) mengharapkan balasan yang setimpal daripada golongan tersebut.
Pemandu teksi yang dianggap sebagai ‘duta’ sewajarnya menghentikan tabit buruk mereka menghentam kerajaan dan pemimpin BN setiap kali penumpang menaiki kenderaaan mereka.
Mereka sepatutnya memuji keprihatinan kerajaan dan meminta para penumpang mencurahkan taat setia kepada Kerajaan BN dan pada masa yang sama jangan terpengaruh dengan hasutan parti pembangkang supaya melakukan huru hara dalam negara.
Pemandu teksi perlu melahirkan rasa syukur di atas pemberian kerajaan dan tidak perlu ‘mengigit’ tangan yang menyuap makanan kepada mereka.