Halaman

24 June 2012

574 nelayan PKN Marang terima elaun sara hidup

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 574 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang menerima bantuan elaun sara hidup yang bertujuan meringankan beban mereka dalam menghadapi tekanan ekonomi disebabkan kenaikan harga barang.

Daripada jumlah itu, seramai 558 nelayan menerima RM200 setiap seorang manakala selebihnya menerima RM100.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Mohd. Saffe Mohd. berkata, nelayan yang menerima bantuan RM100 itu merupakan kumpulan nelayan yang baru diluluskan untuk menerima elaun tersebut.

"Sebenarnya, separuh daripada elaun nelayan ini (yang baru menerima elaun) telah dipotong bagi tujuan pembayaran insurans.

"Keadaan itu sama seperti nelayan lain yang mendapat RM100 sebelum ini.

Bagaimanapun, kali ini mereka mendapat elaun penuh (RM200)," katanya pada majlis bayaran elaun sara hidup secara tunai PNK Marang baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis yang dibuat mengikut kawasan secara bulanan itu ialah Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.