Program 'bulan madu kali kedua' kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) telah dijadikan program bulanan dengan sasaran 300 pasangan menyertai program itu bermula tahun ini.
Pengarah YPKT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, langkah itu dibuat berdasarkan sambutan menggalakkan para peserta di samping mampu memulihkan pasangan suami isteri yang ‘bermasalah’ di negeri ini.
Sejak diperkenalkan awal tahun 2010 katanya, seramai 278 pasangan, kebanyakkannya usia perkahwinan mereka lima tahun ke bawah telah menyertai program tersebut yang diadakan di pulau-pulau peranginan seperti Perhentian, Redang dan Langkawi di Kedah.
“Pasangan yang dipilih ialah mereka yang mengalami masalah rumah tangga dan ada yang kritikal sehingga sampai kepada proses permohonan penceraian di Mahkamah Syariah.
“Dengan beberapa modul santai sepanjang tiga hari dua malam program itu, harapan kita hubungan mereka kembali bertaut, seterusnya menyuburkan institusi kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Shafaruddin memberitahu, pada tahun ini, YPKT bercadang mengadakan 10 siri program 'bulan madu kali kedua' dengan penyertaan 30 pasangan suami isteri bagi setiap sesi.
Katanya, program kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Mahkamah Syariah Terengganu itu dapat menyelamatkan institusi keluarga terutamanya pasangan usia perkahwinan masih muda.
Kajian pihak YPKT sendiri jelas beliau, dalam tempoh lima tahun usia perkahwinan banyak berlaku penceraian ekoran pasangan tidak mampu menyesuaikan diri melalui alam baru perkahwinan.
“Fokus kita juga mahu kurangkan jumlah penceraian kerana perkara remeh antara suami isteri serta penglibatan tangan orang ketiga antara menjadi faktor penyebab.
“Sejak lima tahun lalu, sejumlah 11,000 hingga 14,000 pasangan yang berkahwin di Terengganu dan daripada jumlah itu 10 hingga 15 peratus terlibat dalam kes penceraian direkodkan,” ujarnya.