Halaman

28 June 2012

Tasik Kenyir, Taman Tamadun Islam lokasi pilihan klip video album sulung Beleza

Oleh FAUZI MOHD

Terpesona dengan keindahan dan suasana kehidupan Terengganu, kumpulan muzik pop Beleza yang kini sedang mencipta nama di Indonesia bercadang menjadikan negeri ini sebagai latar klip video mereka.

Beleza dengan lima anggota sedang mempromosikan album sulung mereka Dont' Say You Hate Me' akan merakamkan sekurang-kurangnya dua klip video di sini di beberapa lokasi termasuk di Taman Tamadun Islam dan Tasik Kenyir.

Mereka muncul di Hotel Permai Kuala Terengganu baru-baru ini bagi melancarkan album itu dan Awang Adha Putratama sekali vokalis menyifatkan negeri ini sebagai lokasi terbaik.

Beleza yang bererti "tampan" dibentuk pada 2009 dan ia menyajikan aliran muzik pop melankolik dengan sedikit nuasa Melayu yang dianggap aliran muzik sederhana, enak dan selesa didengar.

Mereka percaya aliran muzik sebegitu akan mudah diterima di negara ini.

Selain Awang Adha Putratama, 22, Beleza dianggotai Muhammad Yudi, 27, (gitar), Gebby Frendias Andrian, 24, (gitar), Jacka, 25, (bass) dan Dod's, 27, (dram).

Beleza yang bernaung di bawah Worldwide Far East Berhad (WFEB) menyajikan lapan lagu termasuk Cuma Satu, Jaga Hatimu, Satu Dua Tiga, Cinta Gila, Gara-Gara Kamu, Cabut Nyawaku dan Aku Bukan Dewa.

Pengerusi WFEB, Datuk Dr. Noor Ismahanum Mohd Ismail memberitahu, pihaknya bukan sahaja tertarik dengan keunikan yang ada di beberapa tempat di negeri itu malah turut terpikat dengan kebudayaan rakyatnya.

"Sebelum ini, beberapa negeri lain sudah kita lawati namun sukar memutuskan lokasi yang dianggap menarik sehingga kami tiba di sini untuk promosi.

"Pada peringkat permulaannya, kami akan merakam klip video lagu Cuma Satu yang terdapat di dalam album dan Kebebasan juga dinyanyikan oleh kumpulan ini dalam filem Tyickoouns yang dijangka akan ditayangkan di pawagam pada November depan," katanya.

Sempena dengan program promosi di Kuala Terengganu, Beleza membuat persembahan di Taman Awam Batu Buruk Kuala Terengganu sekaligus menjual album dan ramah mesra dengan peminat.

Ketika ini Beleza masih dalam rangka promosi di seluruh negara sebelum meneruskan agenda sama ke Brunei dan Singapura.