Halaman

04 July 2012

IPG Kampus Dato’ Razali tubuh Pusat Dokumentasi

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail akan mewujudkan Pusat Dokumentasi bagi memudahkan pengkaji dan pelajar mendapatkan maklumat tepat berkaitan bekas Tokoh Pendidikan Allahyarham Dato’ Razali Ismail.

Pusat yang bakal beroperasi dalam tempoh terdekat di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu itu bakal menghimpunkan pelbagai dokumen dan butiran perjalanan hidup Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Encik Ghulam Sarvek Mubarak Ali, berkata penubuhan pusat itu cukup berharga bagi mengenangkan jasa, keringat dan bakti yang pernah dicurahkan Allahyarham kepada semua lapisan masyarakat, terutama guru dan pelajar.


“Mereka yang ingin membuat rujukan boleh mendapatkan maklumat dan pelbagai bahan rujukan seperti minit mesyuarat, rakaman video, rakaman suara ketika merasmikan mesyuarat, gambar-gambar menghadari program dan sebagainya apabila pusat itu dibuka dikelak.

“Kita mahu guru-guru dan pelajar mencontohi sifat Allahyarham yang bukan saja bertanggungjawab terhadap tugas malah berketrampilan sebagai seorang guru dan pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh Allahyarham Dato’ Razali Ismail, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Haji Roshali Taha.


Lebih 2,000 peserta hadir pada program itu yang bertujuan mengimbau kenangan, jasa dan sikap berjiwa rakyat Allahyarham Dato’ Razali.

Tiga ahli panel berpengalaman menyertai bicara tokoh itu adalah mantan Setiausaha Sulit Kanan Allahyarham, Encik Wan Harun Mohd; Penulis YM Syed Mohammad Nor dan anak sulung Allahyarham yang juga Naib Presiden (Bahagian Strategi & Pembangunan Perniagaan Kumpulan), Sime Darby Berhad, Encik Norazli Razali.

Encik Ghulam turut memberitahu pihaknya mengharap Pusat Dokumentasi itu dapat menimbulkan kesedaran orang betapa berharganya ilmu yang dimiliki Allahyarham Dato’ Razali khususnya golongan pendidik dan pelajar.







Usahawan cara MARDI

Oleh; Esah Abdullah

Latihan amali secara secara terus merupakan kaedah sangat berkesan membantu usahawan mencuba sendiri membangunkan formulasi produk masing-masing.

Ketua Pengarah , Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Dato’ Dr. Abd Shukur Abd Rahman berkata, melalui latihan amali usahawan diberi tunjuk ajar termasuk belajar mengenai cara penggunaan mesin.

Sehubungan itu katanya, Mardi telah membangunkan sembilan testbed teknologi di seluruh negara yang dilengkapi dengan mesin dan peralatan moden untuk pengeluaran berskala kecil.

“Pusat yang diwujudkan ini dibuka kepada usahawan untuk menjalani latihan sangkut atau kursus teknikal secara percuma,” katanya.

Katanya, setiap testbed mempunyai produk tetentu antaranya seperti snek berasaskan beras seperti rempeyek dan kuih ros (Kedah), minuman, sos dan sapuan (Johor Bharu) dan produk berasaskan ikan seperti keropok lekor sejuk beku, sata, naget dan crispy (Terengganu).

“Produk berasaskan ikan memang menjadi pilihan utama pengunjung ke Terengganu dan melaluinya telah membentuk satu ruang perniagaan yang mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya.

Tambahnya, Mardi bersedia merangsang proses inovasi teknologi di kalangan usahawan. mereka boleh berkembang dan menghasilkan produk berdaya saing untuk pasaran yang lebih besar.




Program Karisma Selendang Biru, Semarak Kasih Parlimen Marang esok

Oleh: Aida And Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra



Program Karisma Selendang Biru Semarak Kasih Parlimen Marang akan diadakan di Dataran Alor Limbat, Marang, bermula jam 8 pagi hingga 2 petang, esok (5 Julai).

Sehubungan itu, orang ramai dijemput memeriahkan program yang bakal dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurut satu kenyataan, program turut menyediakan pelbagai acara menarik untuk semua lapisan usia seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pameran agensi kerajaan, demonstrasi kerja tangan, pertandingan mewarna selain kaunter perkhidmatan pembayaran cukai dan hasil tanah.

Malah, orang ramai turut berpeluang mendaftar sebagai pemilih di kaunter khas yang disediakan penganjur, selain dapat berkongsi manfaat daripada taklimat agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Amanah Ikhtiar Malaysia, Amanah saham Nasional Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Tekun Nasional.

Program turut disusuli dengan penyampaian anugerah tokoh ibu tunggal dan hadiah kepada pemenang pertandingan mengubah bunga, mengukir buah, mewarna, gerai pameran paling cantik serta cabutan bertuah.






03 July 2012

OKU mampu kuasai sukan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri menaruh harapan menghantar seberapa ramai atlet Orang Kurang Upaya (OKU) dari negeri ini menyertai Kejohanan Special Olympics Peringkat Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada 2015.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Encik Zuhami Omar berkata, hasrat ini tidak mustahil kerana sudah terbukti ramai atlet kelahiran negeri ini mewakili negara ke kejohanan di luar negara.

“Saya yakin atlet OKU juga mampu membawa nama negeri ini kepersana dunia jika dapat beraksi dengan baik,” katanya di majlis penutup Kejohanan Special Olympics Negeri Terengganu 2012 di Kompleks Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (3 Julai).

Majlis penutup telah dilakukan oleh isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud. Hadir sama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Puan Nurfarhana Lee Mod Zulkiflee.

Katanya, beberapa acara baru telah diperkenalkan pada kejohanan tahun ini seperti renang, equestrian, BOCCE dan lontar peluru.

Menurutnya terdapat 400 peserta yang mewakili Pusat dalam Komoditi (PDK) seluruh negeri mengambil bahagian beserta 123 orang pegawai pengiring dan pengurus pasukan iaitu satu jumlah yang agak besar berbanding tahun sebelumnya.

“Kejohanan ini memberi peluang OKU yang menghadapi masalah pembelajaran menyertai sukan bercorak pertandingan dan bukan berbentuk sukaneka semata-mata,” katanya.

Katanya, melalui kejohanan ini peserta akan dipilih untuk mewakili negeri ke Kejohanan Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Pahang pada Oktober depan.






Allahyarham Dato’ Razali wajar jadi ikon

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Masyarakat terutama guru dan pelajar di Terengganu parlu menjadikan Allahyarham Dato’ Razali Ismail, bekas Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, sebagai ikon pendidikan yang berjiwa rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kehebatan pemimpin itu ketika hayatnya yang mencetus dan merancang pelbagai idea baru di bidang pendidikan dan politik sewajarnya disanjungi dan dihargai semua pihak.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini meneruskan segala agenda yang dirancang Allahyarham supaya Terengganu terus unggul sebagai Negeri Anjung Ilmu.

“Allahyarham Dato’ Razali bukan saja setakat menjadi seorang pemikir dan perancang, malahan beliau sendiri menunjukkan contoh teladan dan model pendidik dan pemimpin sejati yang berjiwa rakyat.


“Sepanjang hayatnya, beliau banyak merancang dan menyediakan kemudahan kepada rakyat untuk memahami ispirasi negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh Allahyarham Dato’ Razali Ismail, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Haji Roshali Taha dan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.

Lebih 2,000 peserta hadir pada program itu yang bertujuan mengimbau kenangan, jasa dan sikap berjiwa rakyat Allahyarham Dato’ Razali.

Tiga ahli panel berpengalaman bicara tokoh itu adalah mantan Setiausaha Sulit Kanan Allahyarham, Encik Wan Harun Mohd; Penulis YM Syed Mohammad Nor dan anak sulung Allahyarham yang juga Naib Presiden (Bahagian Strategi & Pembangunan Perniagaan Kumpulan), Sime Darby Berhad, Encik Norazli Razali.

YB Ahmad Razif turut memberitahu, melalui program seumpama ini, pihaknya dapat membuktikan bahawa kerajaan negeri sayangkan ilmu dan sifat ketokohan Allahyarham ketika hayatnya.


“Kita mempunyai ramai tokoh yang boleh dijadikan sebagai ikon dalam pelbagai bidang, apa yang dimiliki itu berkemungkinan akan ditonjolkan dalam program seumpama ini supaya masyarakat boleh memahami dan menyedarinya.

“Selepas ini, tokoh seperti mantan Pendana Menteri Dato’ Dr Mahatir Mohamed dan mantan Menteri Besar, Tan Sri Haji Wan Mokhtar Ahmad berkemungkinan akan ditampilkan jika mempunyai ruang dan kelapangan,” katanya.



Kerajaan sedia banyak kemudahan sukan- isteri MB

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan menyediakan banyak kemudahan sukan dalam usaha mendidik rakyat mengamalkan budaya hidup sihat dengan aktiviti berfaedah.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, kerajaan telah menambah peruntukan untuk membina sebuah lagi gelanggang futsal di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini.

“Saya berharap pegawai dan kakitangan jabatan kerajaan tidak mengabaikan penjagaan kesihatan serta menjadikan aktiviti bersukan sebagai rutin harian,” katanya di majlis penutup Kejohanan Special Olympics Negeri Terengganu 2012 di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (3 Julai).

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Encik Zuhami Omar dan Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Puan Nurfarhana Lee Mohd Zuliflee.

Katanya, melalui acara sukan dapat memberi peluang anggota dan agensi terbabit mengeratkan hubungan silatulrahim dan kerja berpasukan yang lebih komited dalam acara disertai.

Kejohanan sukan khusus kepada peserta Orang Kurang Upaya (OKU) itu berlangsung Sabtu lalu (30 Jun) membabitkan 400 peserta dari Pusat Dalam Komoditi (PDK) seluruh negeri .

Terdapat lapan acara dipertandingkan antaranya ialah acara BOCCE, bola sepak, sukan berkuda, bowling serta acara olahraga seperti lontar peluru, lompat berdiri, lompat jauh, lumba lari (100m dan 200m) dan larian 4x100m.

Sementara itu, To’ Puan Seri Hajah Norliza sempat menonton perlawanan akhir bola sepak 5 sebelah antara pasukan PDK Besut melawan PDK Dungun yang berkesudahan PDK Dungun berjaya menundukkan Besut 3-0.

To’ Puan Seri Hajah Norliza kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang pada kejohanan sukan berkenaan.




1,302 golongan miskin di DUN Kota Putera terima zakat



Oleh: Mohammad Ishak

Seramai 1.302 golongan miskin di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera, menerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebagai persiapan awal menyambut Ramadan tahun ini.

Majlis penyampaian agihan zakat itu yang berlangsung di Masjid Kampung Raja, dirasmikan oleh ADUN Kota Putera Yang Berhormat, Muhamad Pehimi Yusof.

Pada tahun ini MAIDAM mengagihkan zakat berkenaan lebih awal bagi membolehkan semua penerima menggunakan wang untuk keperluan mereka.

Muhamad Pehimi berkata, sejumlah RM486,300 diperuntukkan bagi agihan kepada golongan miskin di kawasan berkenaan.

Katanya, dengan agihan itu golongan miskin terbabit dapat menggunakan sepenuhnya untuk membuat persiapan menyambaut bulan Ramadan tidak lama lagi

Menurutnya, pada tahun ini MAIDAM mensasarkan kutipan lebih RM1 juta untuk dipunggut daripada umat Islam negeri ini menerusi pelbagai sumber pendapatan yang sah.

“Masyarakat Islam kini mempunyai kesedaran tinggi untuk mengeluarkan zakat dan jumlah itu sentiasa meningkat pada setiap tahun,” katanya.

Beliau berharap dengan sumbangan yang dilakukan oleh MAIDAM penduduk yang tersenarai sebagai penerima zakat dapat membantu meringankan beban kewangan untuk menyara hidup keluarga.

Penyokong Pas diminta tolak Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Dato’ Dr Hassan Ali meminta penyokong tegar Pas dan semua ahli parti itu menolak Pas, demi menyelamatkan Islam, Melayu dan institusi raja-raja yang disifatkannya menuju kehancuran angkara tindakan parti pembangkang.

Bekas Naib Presiden Pas itu yang sekian lama mengabdikan diri kepada parti tersebut merasakan beliau tertipu dengan Pas yang kini tidak lagi memperjuangkan negara Islam dan kepimpinan ulama.

Beliau menjelaskan dua prinsip utama perjuangan Pas iaitu menegakkan Islam dan kepimpinan ulama, mendorongnya menyertai parti itu walaupun telah lama berkhidmat dengan kerajaan.

“Saya sendiri mempunyai banyak pilihan, tetapi memilih Pas kerana terpesona dengan perjuangan negara Islam dan kepimpinan ulama yang mereka laung-laungkan,” katanya ketika berceramah pada siri jelajah di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tumpat, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Dato’ Dr Hassan Ali yang menganggotai barisan Exco Kerajaan Selangor selepas Pakatan Rakyat menang di negeri itu, melahirkan rasa kesal dan kecewanya kerana kini Pas tidak lagi memperjuangkan prinsip berkenaan setelah bersengkokol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau menjelaakan matlamat utama Pas dan konco-konco parti itu sekarang ialah menawan Putrajaya.

Katanya, Pas tidak lagi memperjuangkan negara Islam apabila Presidennya, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, pada Muktamar Tahunan Pas Ke-57 tahun lalu menegaskan parti itu akan menegakkan negara berkebajikan di Malaysia.

Dato’ Dr Hassan juga berkata, perjuangan Pas telah berubah setelah 70 peratus daripada barisan kepimpinannya kini dikuasai golongan sekular yang beliau sifatkan sebagai parasit.

Katanya, keadan ini menyebabkan saf kepimpinan Pas telah bertukar matlamat perjuangan dan memberi keutamaan kepada hasrat menawan Putrajaya bersama-sama dengan DAP dan PKR.



Dana RM50,000 bantu bekas tentera tidak berpencen

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra
 
Kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan permulaan sebanyak RM50,000 kepada Koperasi Kumpulan Veteran Tentera Tidak Berpencen (KVTTB) bagi membela nasib golongan itu yang pernah berkhidmat menjaga keamanan dan keselamatan negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bukan sahaja menawarkan bantuan dana itu, malah akan meluluskan permohonan tanah tapak rumah dan pertanian yang boleh diusahakan oleh bekas tentera sebagaimana kemudahan yang dinikmati rakyat seluruh Terengganu.

“Ini kali pertama satu pertubuhan koperasi veteran tidak berpencen (di Terengganu). Sebenarnya mereka berkhidmat sehingga 18 tahun. Ada 10..ada 12 tahun. Untuk membolehkan mereka menerima pencen tentera mereka perlu berkhidmat sehingga 21 tahun.



“Jadi selama ini tiada pertubuhan atau persatuan ditubuhkan untuk membela kebajikan mereka. Alhamdulillah, Komander En Mohd Sabri Abd Malek (Yang Dipertua KVTTB) sudah ditubuhkan di peringkat Pusat dan selepas ini peringkat negeri-negeri, di mana Terengganu adalah negeri ke-13. Insya-Allah menerusi pertubuhan ini memudahkan kerajaan negeri membantu mereka,” katanya di sidang akhbar sempena Program Jejak Kasih Pemimpin Bersama Rakyat serta Pendaftaran Ahli KVTTB 1Malaysia, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua KVTTB, Encik Mohd Sabri Abd Malek dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha.

Menteri Besar berkata, melalui pertubuhan ini, kerajaan negeri akan memastikan nasib bekas tentera yang pernah berjasa memikul senjata demi mempertahankan kedaulatan Tanah Air terbela menerusi bantuan dan kemudahan di bawah satu pengurusan yang lebih sistematik dan telus.

“Di Terengganu, usaha mengesan ahli tentera tidak berpencen sedang giat dilaksanakan bagi memastikan mereka menjadi ahli KVTTB secara sah sekali gus menambah jumlah ahli sedia ada di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, seramai 200,000 ahli tentera veteran tidak berpencen dikenalpasti di seluruh Malaysia dengan 60,000 daripadanya menyertai KVTTB.





Perjuangan sia-sia, jika menentang kerajaan : MB

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan bekas tentera supaya tidak sesekali menjadi kumpulan yang menentang kerajaan dan menanam hasrat untuk menjatuhkan kepimpinan negara hari ini dengan menyertai parti pembangkang.

“Dulu mereka berkhidmat 18 tahun memikul senjata mempertahankan negara, melindungi rakyat dan sanggup berkorban jiwa dan raga, tiba-tiba buang uniform (tamat perkhidmatan) dan pencen, mereka menentang kerajaan.

 “Ini bermakna perjuangan mereka selama ini sia-sialah, mereka tidak dapat mengekalkan kerajaan yang ada,” katanya di sidang akhbar sempena Program Jejak Kasih Pemimpin Bersama Rakyat serta Pendaftaran Ahli KVTTB 1Malaysia, di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua KVTTB, Encik Mohd Sabri Abd Malek dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Haji Roshali Taha.

Menteri Besar berkata, sebagai bekas anggota tentera mereka perlu menanam jati diri yang teguh dan mengekalkan semangat perjuangan dan sayangkan tanah air sebagaimana sikap yang diamalkan sepanjang bertugas menjaga keselamatan negara daripada musuh dan anasir negatif sebelum ini.

Malah, beliau juga menasihatkan golongan itu supaya menjauhkan diri daripada terlibat dalam sebarang demonstrasi yang dianjurkan pihak penentang kerajaan kerana tindakan itu jelas melanggar undang-undang.