Kerajaan negeri menaruh harapan menghantar seberapa ramai atlet Orang Kurang Upaya (OKU) dari negeri ini menyertai Kejohanan Special Olympics Peringkat Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat pada 2015.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Encik Zuhami Omar berkata, hasrat ini tidak mustahil kerana sudah terbukti ramai atlet kelahiran negeri ini mewakili negara ke kejohanan di luar negara.
“Saya yakin atlet OKU juga mampu membawa nama negeri ini kepersana dunia jika dapat beraksi dengan baik,” katanya di majlis penutup Kejohanan Special Olympics Negeri Terengganu 2012 di Kompleks Tengku Muhammad Ismail Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (3 Julai).
Majlis penutup telah dilakukan oleh isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud. Hadir sama Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Puan Nurfarhana Lee Mod Zulkiflee.
Katanya, beberapa acara baru telah diperkenalkan pada kejohanan tahun ini seperti renang, equestrian, BOCCE dan lontar peluru.
Menurutnya terdapat 400 peserta yang mewakili Pusat dalam Komoditi (PDK) seluruh negeri mengambil bahagian beserta 123 orang pegawai pengiring dan pengurus pasukan iaitu satu jumlah yang agak besar berbanding tahun sebelumnya.
“Kejohanan ini memberi peluang OKU yang menghadapi masalah pembelajaran menyertai sukan bercorak pertandingan dan bukan berbentuk sukaneka semata-mata,” katanya.
Katanya, melalui kejohanan ini peserta akan dipilih untuk mewakili negeri ke Kejohanan Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Pahang pada Oktober depan.