Halaman

05 July 2012

PPK perlu jadi agen tranformasi

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di setiap daerah sewajarnya bertindak sebagai agen tranformasi supaya ahli-ahli peladang di negeri bijak dan berani mencuba perkara baru.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT), Wan Zakaria Abdul Rahman, berkata mereka sewajarnya terlibat secara langsung dalam membangunkan projek-projek pertanian berskala besar dan komersial.

Katanya, pada masa sama, PPK perlu memantapkan dan memperkukuhkan rantaian nilaian pengeluaran hasil-hasil pertanian yang diusahakan oleh petani dan ahli peladang sama ada secara individu atau berkelompok.

“Menyediakan sokongan perkhidmatan kejenteraan ladang seperti traktor, jentuai dan pengangkutan lori, perkhidmatan pembekalan peralatan ladang, benih dan input pengeluaran wajar dipandang serius supaya tidak timbul pelbagai masalah,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perjumpaan Menteri Besar Bersama Ahli Peladang, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut di hadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris dan pemimpin-pemimpin setempat.


Sembilan ahli peladang pelbagai PPK menerima pinjaman antara RM20,000 hingga RM50,000 setiap individu bagi melaksanakan projek masing-masing.

Encik Wan Zakaria turut memberitahu peningkatan pengeluaran makanan pada kos kompetitif akan memastikan rakyat mendapat bekalan sumber makanan yang mencukupi pada harga berpatutan.

“Pendekatan ini mampu meningkatkan hasil pengeluaran bahan makanan, mengatasi permasaran hasil pertanian dan sekaligus dapat mengekang kenaikan harga makanan,” katanya.