Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan terus mengekalkan program pertandingan ayam serama di dalam kalendar aktiviti tahunan agensi itu kerana mendapat sambutan menggalakkan.
Pengurus Besarnya, Encik Wan Mat Amin Wan Daud berkata, aktiviti yang diadakan di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir itu berjaya menarik ramai peserta dari dalam dan luar Terengganu.
“Peserta makin bertambah setiap kali pertandingan diadakan dan ini sekali gus dapat mempromosikan Tasik Kenyir sebagai sebuah tasek buatan manusia terbesar di Asia Tenggara,” katanya.
Katanya, Ketengah turut melaksanakan beberapa aktiviti di kawasan berkenaan dalam usaha menarik pelancong dari dalam dan luar negara datang melihat keunikan dan keindahan tasek itu.
“Ini bertepatan bila kerajaan negeri sedang membangunkan 10 pulau antaranya taman orkid, taman burung dan akan mewartakan sebagai kawasan bebas cukai tidak lama lagi,” katanya.