Santuari Penyu Chagar Hutang di Pulau Redang merekodkan kira-kira 80 ekor penyu naik bertelur di situ sepanjang tahun ini.
“Perkembangan ini sesuatu yang memberangsangkan dalam usaha pemuliharaan hidupan itu,” kata Pembantu Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Siti Norazliyana Ali.
Katanya, jumlah berkenaan diketahui berdasarkan tag yang dilekatkan pada setiap penyu yang mendarat dan bertelur termasuk penyu yang baru pertama kali mendarat bagi tujuan kajian.
“Penyu merupakan sejenis haiwan yang akan kembali bertelur di tempat ia lahir walaupun telah merantau ke seluruh dunia untuk mencari makanan,” katanya.
Menurutnya, penyu bekenaan juga akan mencari pasangan di tempat asalnya dan sebab itu genetik haiwan ini tidak bercampur dengan penyu dari negara lain.
Tambahnya secara keseluruhannya tahun ini sebanyak 292 sarang penyu dicatatkan di santuari berkenaan dan kebanyakannya dari jenis penyu agar dan hanya sedikit dari jenis penyu karah.
“Di kawasan yang sama tahun lalu mencatatkan 596 sarang telur penyu direkodkan, 676 sarang (2010), 408 sarang (2009), 610 sarang (2008), 367 sarang (2007) dan 273 sarang (2006),” katanya.