Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menjalankan kempen Kutip Biji Getah bermula bulan ini (Julai) bagi memastikan bekalan benih baru untuk pekebun kecil sentiasa mencukupi.
Timbalan Pengarah Risda negeri, Puan Faridah Hariyati Mohd Jusoh berkata, pekebun kecil atau orang ramai boleh mencari duit poket dengan menjual biji getah kepada Risda.
“Tahun lepas kita berjaya mengumpul 24 tan metrik biji getah dan tahun ini kita menjangkakan dapat mengumpul dalam jumlah yang lebih banyak,” katanya.
Katanya, setiap kilogram biji getah dibeli dengan harga RM3, ia kerja mudah kerana sambil menoreh sambil mengutip biji yang luruh sekali gus mereka boleh dapat duit dengan senang.
Menurutnya, Risda akan mengumpul dan mengenalpasti biji getah yang bermutu tinggi bagi menghasilkan anak pokok yang berkualiti .
Pihaknya turut mengalu-alukan pekebun kecil yang ingin membuat permohonan bagi tanaman semula getah untuk mengisi borang permohonan secara talian terus.
“Proses melalui talian ini cepat dan boleh selesai dalam tempoh 24 jam berbanding mengisi borang secara manual yang mengambil masa 14 hari daripada tarikh dipohon,” katanya.