Halaman

01 July 2012

YPU tambah RM1 juta tabung pinjaman usahawan

Oleh FAUZI MOHD


Kerajaan negeri akan menambah RM1 juta lagi untuk tabung pinjaman usahawan di negeri ini bagi membantu golongan itu mengembangkan perusahaan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera berkata, suntikan itu menjadikan dana tersebut berjumlah RM2 juta setahun bagi memenuhi keperluan usahawan tempatan.

Katanya, tambahan RM1 juta melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) itu antara lain bagi membantu para usahawan dalam pelbagai sektor termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).


"Buat masa ini setiap tahun ada RM1 juta yang diperuntukkan kerajaan dalam bentuk pinjaman kepada para usahawan dan mulai tahun depan, kerajaan negeri bersetuju untuk tambah RM1 juta lagi.

"Begitulah seterusnya, jumlah pinjaman untuk golongan usahawan di Terengganu akan kita tambah RM1 juta setahun," katanya baru-baru ini.

Dato’ Mohamed berkata, kerajaan negeri menerusi YPU akan terus memainkan peranan proaktif termasuk cuba mengubah minda para usahawan agar lebih kreatif dalam memajukan lagi perusahaan mereka.

Beliau menambah, sehingga kini, YPU berjaya melahirkan seramai 17,000 usahawan di negeri ini yang merangkumi pelbagai sektor perusahaan termasuk pembinaan, pertanian dan pelancongan.