Terengganu muncul negeri berjaya mengeluarkan peserta dalam senarai e-Kasih paling tinggi apabila lebih 14,000 daripada 43,000 golongan itu keluar dari paras kemiskinan bermula 2008 hingga Jun tahun ini.
“E-kasih bertambah setiap hari akibat penceraian, kemiskinan dan masalah rumah tangga. Kerajaan negeri sentiasa peka dan mengambil inisiatif secara intensif bagi memastikan peserta e-Kasih dapat dikurangkan dari masa ke semasa.
“Menerusi program dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga, Yayasan Pembangunan Usahawan, bantuan membaiki rumah dan membina baru antara faktor yang mendorong kejayaan peserta e-Kasih keluar dari paras kemiskinan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato' Yahya Khatib Mohamad, di sidang akhbar selepas merasmikan Program Selendang Biru Semarak kasih Parlimen Marang, di Dataran Alor Limbat, Marang, hari ini.
Turut Hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Haji Alias Abdullah.
Dalam perkembangan berbeza, menurut Dato’ Yahya, pihaknya akan memastikan 50 hingga 100 daripada 2,000 ibu tunggal di Marang yang tersenarai sebagai penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak lagi menerima bantuan itu menerusi pembabitan dengan bidang perniagaan yang dapat menambah pendapatan dan mengubah taraf hidup mereka kelak.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengeluarkan 10 hingga 15 peratus golongan ibu tunggal daripada setiap parlimen di negeri ini daripada menerima bantuan bulanan JKM itu.