Halaman

07 July 2012

Gotong royong mengecat Pusat Komuniti Rumah Awam Seberang Jertih



Oleh: Mohammad Ishak 

Cuti hujung minggu dimanfaatkan oleh penduduk di Perumahan Awam Seberang Jertih dengan mengadakan aktiviti mengecat pagar Pusat Komuniti dalam usaha mengindahkan kawasan perumahan berkenaan.

Kerja mengecat itu disertai oleh remaja dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awam berkenaan.

Setiausaha JKKK terbabit, Wan Mohamad Ibrahim, berkata pihaknya mengadakan aktiviti gotong royong bagi menggalakkan remaja dan penduduk bekerjasama antara satu sama lain.

Katanya, JKKK itu mendapat peruntukan RM1,000 sumbangan Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri, bagi membeli cat dan peralatan lain.

Menurutnya, pusat komuniti itu yang menampatkan sebuah surau, kelas Tadika dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) akan dicat dalam pelbagai warna menarik bagi menampakkan suasana baru dan persekitaran yang indah.

Beliau berkata, dengan menggunakan pelbagai warna ia mampu menjadi daya tarikkan selain kelihatan ceria dan menarik.

Wan Mohamad berkata, jawatankuasa JKKK dalam mesyuarat bulanannya memutuskan untuk mengecat pagar konkrik itu dengan menggunakan warna merah, biru dan kuning yang kelihatan lebih cantik dan menawan.

“Apabila siap sepenuhnya kawasan pagar pusat berkenaan dijangka menjadi perhatian dan tarikkan baru kepada pengunjung yang datang ke kawasan perumahan berkenaan,” katanya.