Halaman

02 July 2012

Peserta Kenya dominasi cabaran `Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012'

Oleh: Aida Abd Rahman
Peserta dari Kenya ternyata mengungguli tempat utama cabaran `Terengganu Mount Berembun Green Challenge 2012’ bagi kategori terbuka lelaki dan wanita, di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong, Dungun, yang tamat semalam (30 Jun).

Dengan kemenangan itu, Wanbul Paul Kimani dan Cynthia Keter Kambul membawa pulang RM1,500, medal dan barangan produk `Adventure’ selepas berjaya muncul johan dengan mengatasi 328 keseluruhan peserta pertandingan itu.

Wanbul menamatkan larian dengan catatan masa 2 jam 17 minit dan 39 saat untuk meninggalkan rakan senegara, Josept G.Tau Kariuki yang muncul naib johan dengan merekod masa 2 jam 20 minit dan 13 saat. Sementara tempat ketiga juga peserta dari Kenya Johndan Kiplimd Maru (2:21:53).

Manakala Cynthia menamatkan cabaran dengan masa 3 jam 6 minit dan 14 saat mengenepikan peserta tuan rumah, Foo Kam Miew dan Hafizah Mohd Arshad, masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga dengan merekod masa 3 jam 15 minit dan 48 saat dan 3 jam 43 minit 32 saat.

Bagi kategori veteran pula dimenangi Malek Musa (2:20:06), diikuti naib johan Ho Yney Khuen (2:24:22) dan tempat ketiga, Mohamad Omar (2:29:51).

Pemenang tempat kedua hingga kesepuluh turut menerima hadiah masing-masing berjumlah RM1,000 hingga RM200 seorang medal serta barangan `Adventure’.
Majlis perasmian dan pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, manakala perasmian penutup dan penyampaian hadiah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Dato’ Din Adam.

Dato’ Abdul Rahin berkata kerajaan negeri menyambut baik acara berprestij ini yang berjaya menarik 328 peserta termasuk 25 peserta luar negara seperti dari Kenya, Thailand, Singapura, United Kingdom.

Katanya, kerajaan berhasrat untuk terus menganjurkan acara rekreasi dan ekstrim ini pada tahun depan sekali gus menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2013.

“Pertandingan anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara bagi tahun kedua itu bertujuan mempromosikan Gunung Berembun yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan menjadi aset Terengganu yang perlu dihayati oleh semua pihak sama ada bagi menjalankan sukan rekreasi, pelancongan, sejarah, perhutanan, alam sekitar serta pendidikan,” katanya.

Gunung Berembun yang berketinggian 1,108 meter (3,405 kaki) terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong di dalam Hutan Simpan Pasir Raja Dungun, Terengganu turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara, iaitu setinggi 305 meter.