Halaman

01 July 2012

Warga emas di DUN Wakaf Mempelam tidak tersisih

Oleh: Aida Abd Rahman
Keprihatinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu masyarakat kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian terbukti walaupun berada di kawasan pembangkang.

Malah, sikap itu sentiasa diamalkan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah merangkap Pengerusi Penyelaras Umno DUN apabila meneruskan amalan melawat penduduk setiap kali mendapat maklumat berkenaan penduduk yang memerlukan perhatian.

Beliau disertai pegawai di Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, pegawai warisan Negeri Terengganu dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Lebai Saleh menyertai Program Lawatan Muhibah dengan mengunjungi empat warga emas dan miskin di Kampung Lebai saleh, Kuala Terengganu, kelmarin (29 Jun).

Haji Wan Mahyuddin berkata, kerajaan BN dan Umno tidak pernah meminggirkan rakyatnya walaupun rakyat terlupa jasa dan pengorbanan kerajaan selama ini sehingga memilih pembangkang memerintah Wakaf Mempelam sepanjang 33 tahun lalu.

Katanya, Kerajaan BN menjaga kebajikan rakyat sejak dulu lagi dan tidak kerana berpaksikan mahu meraih undi dan sokongan rakyat semata-mata pada setiap kali pilihan raya umum.

“Boleh dikatakan setiap hari lawatan ini diadakan. Kita mendekati masyarakat yang memerlukan bantuan dan kecaknaan pemimpin. Jika pemimpin Pas yang dipilih majoriti penduduk di DUN Wakaf Mempelam gagal membela nasib rakyat, kita sama sekali tidak akan membiarkan penduduk yang harus dibantu ini hidup tersisih serta melarat tanpa perlindungan sewajarnya.

“Kita Cuma mahu rakyat berfikir dan merenung kembali jasa kerajaan BN dan Umno yang tidak pernah menghukum kesilapan rakyat memilih parti Pas yang gagal membela nasib dan memberi faedah kepada mereka,” katanya.

Dalam lawatan itu, empat penduduk, Aminah Abd Rahman, 62, Che Yah Awang, 59, Ismail Mohamad, 66, dan Gayah Ibrahim, 80, menzahirkan rasa gembira dan terharu dikunjungi pemimpin kawasan yang sanggup melawat dan menghulurkan bantuan kepada mereka.