Halaman

04 July 2012

IPG Kampus Dato’ Razali tubuh Pusat Dokumentasi

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail akan mewujudkan Pusat Dokumentasi bagi memudahkan pengkaji dan pelajar mendapatkan maklumat tepat berkaitan bekas Tokoh Pendidikan Allahyarham Dato’ Razali Ismail.

Pusat yang bakal beroperasi dalam tempoh terdekat di IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Kuala Terengganu itu bakal menghimpunkan pelbagai dokumen dan butiran perjalanan hidup Allahyarham Dato’ Razali Ismail yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Pengarah IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, Encik Ghulam Sarvek Mubarak Ali, berkata penubuhan pusat itu cukup berharga bagi mengenangkan jasa, keringat dan bakti yang pernah dicurahkan Allahyarham kepada semua lapisan masyarakat, terutama guru dan pelajar.


“Mereka yang ingin membuat rujukan boleh mendapatkan maklumat dan pelbagai bahan rujukan seperti minit mesyuarat, rakaman video, rakaman suara ketika merasmikan mesyuarat, gambar-gambar menghadari program dan sebagainya apabila pusat itu dibuka dikelak.

“Kita mahu guru-guru dan pelajar mencontohi sifat Allahyarham yang bukan saja bertanggungjawab terhadap tugas malah berketrampilan sebagai seorang guru dan pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bicara Tokoh Allahyarham Dato’ Razali Ismail, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Program yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Haji Roshali Taha.


Lebih 2,000 peserta hadir pada program itu yang bertujuan mengimbau kenangan, jasa dan sikap berjiwa rakyat Allahyarham Dato’ Razali.

Tiga ahli panel berpengalaman menyertai bicara tokoh itu adalah mantan Setiausaha Sulit Kanan Allahyarham, Encik Wan Harun Mohd; Penulis YM Syed Mohammad Nor dan anak sulung Allahyarham yang juga Naib Presiden (Bahagian Strategi & Pembangunan Perniagaan Kumpulan), Sime Darby Berhad, Encik Norazli Razali.

Encik Ghulam turut memberitahu pihaknya mengharap Pusat Dokumentasi itu dapat menimbulkan kesedaran orang betapa berharganya ilmu yang dimiliki Allahyarham Dato’ Razali khususnya golongan pendidik dan pelajar.