Halaman

16 July 2012

Mangsa kebakaran Kampung Baru,Kuala Besut dapat sumbangan



Oleh: Mohammad Ishak 

Nasib malang yang menimpa bekas seorang komando tentera yang hilang tempat tinggal selepas rumah miliknya musnah dalam kebakaran mendapat perhatian Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Dr Abdulla Md Zin.

Kamaruzaman Che Kob, 51, bersama seorang isteri dan seorang anak lelaki berumur tujuh tahun kini terpaksa menumpang di rumah saudara mara apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran kira-kira jam 11 pagi semalam.

Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri yang kebetulan berada di kawasan mengambil kesempatan melawat mangsa kemudian menyampaikan sumbangan peribadi RM500

Turut menyumbangkan bantuan ialah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Besut yang disampaikan melalui Dato’Seri Dr Abdullah.

Ketika kejadian Kamaruzaman bersama isteri tidak ada di rumah kerana menziarah ahli keluarga di kampung berhampiran.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana anak lelakinya yang berusia tujuh tahun yang ditinggalkan seorang diri di rumah itu turut terselamat dari bencana selepas mendapat bantuan jiran yang menyelamatnya.

Abdullah berkata, JKM Daerah Besut sudah mendapatkan maklumat mengenai kebakaran itu dan pejabat terbabit akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu mangsa kebakaran berkenaan.

Beliau berharap, Kamaruddin bersabar untuk memulihkan semula kehidupan baru terutama bagi menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.

Executive Talk Bersama Prof Dr Chandra Muzaffar 18 Julai

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri dengan kerjasama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) akan mengadakan program `Executive Talk Bersama YBhg Prof Dr Chandra Muzaffar, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, pada 18 Julai ini (Rabu).

Program yang akan bermula jam 8.30 malam turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan tetamu kenamaan yang lain.

Menurut kenyataan, penganalisis politik terkemuka, Prof Dr Chandra akan menyampaikan ceramah bertajuk `Malaysia Di Persimpangan Jalan’ yang akan mengupas secara mendalam berkaitan senario politik semasa negara, hala tuju dan peranan rakyat masa kini.

Menteri Besar turut menyampaikan ucapan penutup pada penghujung program nanti.




Semua pusat daerah mengundi komited anjur Shap

Oleh: Suriati Ali

Semua jawatankuasa program 'Setiap Hari Ada Program' (Shap) di 342 pusat daerah mengundi di seluruh Terengganu komited dan serius melaksanakan program yang dirancang.

Ketua Penerangan Umno Terengganu YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, jawatankuasa yang dilantik peka mengadakan aktiviti seperti majlis penerangan isu-isu semasa, sukaneka, kejohanan bola sepak dan futsal, sukan rakyat, melawat orang uzur, menziarahi pesakit di hospital dan gotong royong.

“Mereka bersemangat menyahut saranan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana mahu melihat Barisan Nasional menang besar pada pilihan raya akan datang.

“Program yang dikelola Badan Perhubungan Umno Terengganu itu diadakan bermula 1 Julai lalu, sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke 13,” katanya.

Katanya, Shap adalah lanjutan daripada Program Juara Rakyat, Majlis Penerangan Perdana, Seminar Wasatiyyah & 1Malaysia, Tinjauan Mesra Penerangan dan pelbagai kursus yang telah dijalankan.

"Program ini dijalankan secara bersepadu melibatkan perbagai pihak, termasuk jentera dan penerangan bahagian Umno sehingga menjelang PRU Ke 13,” katanya.

Menurutnya, dia yakin “Pelbagai aktiviti boleh dirancang melalui Shap bagi mendekatkan pemimpin setempat bersama rakyat, mengerakkan jentera parti dan merapatkan hubungan rakyat bersama Umno.


Jumlah pelajar Melayu meningkat sertai Pertandingan ROBOCON 2012

Oleh: Suriati Ali

Penyertaan pelajar Melayu yang mengikuti Pertandingan ROBOCON 2012 Kebangsaan kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang agak ketara.

Ketua Seksyen Automasi Industri dan Robotik SIRIM Berhad, Susana Kamaruddin berkata, pada tahun ini, jumlah penyertaan pelajar terbabit mencecah 70 peratus daripada 427 peserta.

''Peningkatan tersebut menunjukkan bahawa bidang robotik makin diminati dan tidak lagi dimonopoli kaum lain sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis makan malam meraikan peserta pertandingan itu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Tetamu kehormat yang hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Naib Presiden Sirim Berhad, Ir Dr Mohamd Jamil Sulaiman; Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Zakaria Husin dan Jabatan Penerangan Terengganu Hajah Azizah Awang.

Dalam pada itu, Susana memberitahu, pertandingan ROBOCON Kebangsaan 2012 yang berlangsung sejak 12 hingga 17 Julai ini turut memberi kelainan apabila mendapat penyertaan daripada institut latihan serta kolej kemahiran.

Pertandingan Robocon 2012 yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu 11 Julai sehingga esok (17 Julai) menyaksikan penyertaan terbanyak sejak pertandingan tahunan itu dimulai pada tahun 2002.

Turut serta Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Petronas, Politeknik Seberang Prai, Universiti Tunku Abdul Rahman, Institut Teknikal Jepun-Malaysia, Politeknik Ungku Omar, Kolej Komuniti Segamat, Institut Latihan Perindustrian Kota Bharu dan Pusat latihan Teknologi Tinggi Kulim.

Difahamkan buat pertama kalinya penganjuran pertandingan tahunan ini diadakan di luar Lembah Klang dan bandar raya ini dipilih kerana dilengkapi pelbagai kemudahan yang diperlukan.

Pertandingan kali ke-11 dianjurkan bersama kerajaan negeri dengan kerjasama Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan SIRIM Bhd., bertemakan Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka merasmikan program penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu pada petang 17 Julai.

Pemenang akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong Ogos depan.




Program Khas Ulul Albab SMIYT di TER, esok

Oleh: Umi Ikrimah Abdillah

Yayasan Terengganu bakal mengadakan majlis penutup bagi Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz, Yayasan Terengganu(SMIYT) 2012 di Balai Kenanga, Terengganu Equestrian Resort, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9 pagi, esok (17 Julai).

Majlis yang diserikan dengan penyerahan cek bantuan zakat Majlis Agama dan Istiadat Melayu (Maidam) kepada Yayasan Terengganu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agama Dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.

Menurut satu kenyataan, penyerahan cek bantuan zakat kepada Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof bakal disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman.

Manakala penyampaian Anugerah Khas Pelajar Ulul Albab 2012 dan Sijil Ulul Albab pula akan disampaikan oleh Haji Khazan.

Program yang menjemput pelajar, ibu bapa dan guru turut dimeriahkan dengan bacaan ikrar pelajar-pelajar tingkatan satu dan persembahan Kalam Jama’ie oleh pelajar SMIYT.



HSNZ anjur forum awam

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kesihatan negeri, Hospital Sultanah Nur Zahriah (HSNZ) dan Persatuan Pembelajaran Pascasiswazah Perubatan (PGMES) HSNZ akan mengadakan forum awam bertajuk Teknik Reproduktif Bantuan (Bayi Tabung Uji) di Wisma Darul Iman, pada 19 Julai ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan) Dr Mohammad Omar berkata, forum awam itu adalah bagi meraikan kejayaan Jabatan O & G dalam Rawatan Infertiliti serta memberi informasi mengenai peluang kehamilan kepada orang ramai melalui rawatan ART (Assisted Reproductive Technique).

Katanya, tiga kertas kerja dibentangkan dalam forum itu yang bertajuk ` Meninjau Kemajuan Rawatan Fertiliti-Dulu dan Masa Kini oleh Pensyarah dan Pakar Perunding O & G Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan, Prof Madya Ahmad Murad Zainuddin dan `Bayi Tabung Uji dari Perspektif Islam oleh Pegawai Khas Agama Menteri Besar Terengganu, Haji Kamalruddin Omar.

Manakala kertas kerja ketiga bertajuk `Teknik Bantuan Reproduktif ((Assisted Reproductive Technique) di Terengganu – Kejayaan dan Cabaran oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Gineklogi HSNZ,

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud akan merasmikan forum tersebut.




Sukma Pahang : Sang Penyu baham dua emas hoki!

Oleh: Aida Abd Rahman

Biarpun sudah mengesahkan kejuaraan dengan mengumpul hampir 60 emas sehingga petang semalam, pasukan hoki Terengganu terus menjadikan lawan sebagai mangsa untuk menggenggam dua lagi emas menerusi final hoki lelaki dan wanita Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang, di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, malam tadi.

Ternyata semangat juang anak Terengganu tidak pernah padam biarpun terpaksa berhempas pulas menyaingi lawan sehingga mengheret ke perlawanan tambahan dan pukulan penalti selepas skuad lelaki terikat 3-3 menentang Wilayah Persekutuan.

Pertahanan Terengganu, Muhamad Zahirul Faiz Asha'ri muncul wira apabila jaringan yang juga penentuan kelebihan mata berjaya memperdaya penjaga gol Wilayah Persekutuan, Muhammad Fitri Jasni bagi memastikan pingat emas buat Terengganu.

Sebelum itu, gol penalti Terengganu turut disempurnakan Muhammad Firhan Asha'ari, Muhamad Sufi Ismat Rahoulamin dan Mohd Fitri Saari.

Kejayaan meraih emas itu adalah yang pertama buat Terengganu bagi acara hoki lelaki di temasya berkenaan.

Pada perlawanan malam ini, skuad Penyu terlebih dahulu mengasak menerusi pemain kebangsaan Faizal Saari yang menyempurnakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-28 dan ke-45 untuk meletakkan skuad itu 2-0 di hadapan.

Wilayah Persekutuan, bagaimanapun bangkit menerusi gol pertama Mohamad Nor Faeez Ibrahim hasil pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.

Faizal yang licik dan bijak mengatur serangan Terengganu mencetus hatrik dengan meledak gol pada minit ke-51 menerusi pukulan sudut penalti.

Wilayah Persekutuan yang ketinggalan dua gol tidak berputus asa apabila Muhamad Ramadhan Rosli menyumbat masuk gol kedua Wilayah Persekutuan pada minit ke-55 diikuti gol penyamaan oleh Mohamad Nor Faeez pada minit ke-64.

Terikat 3-3 sehingga tamat separuh masa kedua, perlawanan diheret ke masa tambahan namun kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan gol sehingga wisel akhir.

Terengganu akhirnya muncul juara apabila menumpaskan Wilayah Persekutuan menerusi pukulan penalti 4-3.

Jurulatih Terengganu, Encik Mohamad Saberi Salleh, berkata strateginya menguatkan bahagian tengah dan menghasilkan gol menerusi pukulan sudut penalti menjadi.

"Meskipun bahagian pertahanan agak goyah terutama pada separuh masa kedua, saya tetap berpuas hati dan gembira dengan kemenangan ini," katanya.

Sementara itu, skuad wanita Terengganu turut mengenepikan lawan yang sama, Wilayah Persekutuan 1-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung pada sebelah petang.
Gol 'emas' Terengganu dijaringkan Rashidah Mahmad menerusi jaringan padang pada minit ke-18.

Selangor dan Pulau Pinang masing-masing meraih gangsa bagi acara hoki wanita
dan lelaki.




Emas Terbesar Terengganu


Oleh FAUZI MOHD

Biarpun tirai temasya Sukan Malaysia (Sukma) hanya akan ditutup secara rasmi malam ini, kehebatan Terengganu melahirkan jaguh lumba basikal, memanah dan olahraga membolehkan negeri itu ditabalkan selaku juara keseluruhan buat kali ketiga berturut-turut.

Walaupun masih ada lapan pingat emas ditawarkan pada hari terakhir, namun pencabar terdekat kontingen Hanelang, Selangor sudah tidak mampu memintas kerana dipisahkan dengan 14 pingat emas selepas 360 acara dipertandingkan.

Selepas muncul juara keseluruhan pada 2008 dan 2010, kontingen yang diketuai Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail itu meneruskan misi sebagai kuasa baru sukan negara dengan membolot 62 pingat emas, satu pungutan terbesar yang pernah diraih Terengganu dalam sejarah sukan itu.

Malah, pungutan yang diraih kontingen negeri juga mengatasi sasaran sebenar mereka, yang sekadar menetapkan misi 47 emas untuk dibawa pulang.

Sebagai rekod, pada Sukma 2010 di Melaka, Terengganu meraih 47 emas, 30 perak dan 43 gangsa.

Ketika menjadi tuan rumah pada Sukma 2008, kontinjen itu mendapat 61 emas, 39 perak dan 47 gangsa, untuk muncul juara buat kali pertama.

Bayangkan dalam acara lumba basikal, Terengganu berjaya membolot 12 daripada 18 emas yang ditawarkan, manakala memanah menyumbang sembilan emas dan olahraga dengan lapan emas.

Pada hari kesembilan semalam, Terengganu unggul menambah lapan pingat emas dengan dua daripadanya daripada acara angkat berat, memanah serta hoki dan satu daripada sepak takraw dan tinju.

Selain itu, Terengganu turut cemerlang dalam sukan angkat berat (enam), taekwondo (empat) dan ekuestrian (tiga).

Kecemerlangan anak Terengganu pada Sukma kali ni cukup mengejutkan kerana acara yang menjadi salah satu penyumbang emas terbesar di Melaka, kanu tidak disenaraikan di Pahang.

Bagaimana Terengganu mampu menjadi kuasa sukan tempatan yang cukup hebat, ia sesuatu yang harus membuka mata negeri lain apabila menyiapkan atlet masing-masing untuk menghadapi temasya di Perlis, dua tahun dari sekarang


UMT kumpul 4,000 sukarelawan penyu.

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima lebih 4,000 sukarelawan melalui Program Sukarelawan Penyu yang dikendalikan Unit Penyelidikan Penyu (Seatru) di Pulau Chagar Hutang, Pulau Redang sejak ia sejak diperkenalkan 14 tahun lalu.

KEHIDUPAN BARU...seekor daripada ribuan anak penyu menuju mencari kehidupan baru ke Laut China Selatan selepas menetas. Pelepasan anak penyu dilakukan di Pulau Chagar Hutang, Pulau Redang, dikendalikan Unit Penyelidikan Penyu UMT, baru-baru ini.

Ketua projek, Dr. Juanita Joseph berkata, Seatru bukan saja menerima dari dalam negara malah ada peserta dari luar negara seperti Korea, Singapura, Perancis, China, Inited Kingdom, Jerman dan Australia.

Katanya setiap tahun Saetru menerima permohonan amat memberangsangkan daripada peserta untuk menyertai program itu, namun pihaknya terpaksa menghadkan jumlah tersebut.

“Kita kekurangan tempat penginapan serta kemudahan lain dan hanya lapan orang kita ambil setiap minggu bagi mengikuti program berkenaan,” katanya.

Menurutnya, program ini lebih kepada tugas mengawal pantai, membantu menanam telur penyu dan pemeriksaan sarang di samping menjaga hal ehwal habitat itu.

Katanya ramai yang seronok menjadi sukarelawan ini di samping dapat menikmati suasana damai serta dapat mencari pengalaman tentang pemuliharaan penyu agar tidak pupus.







Sultan Mizan berangkat ke program pengukuhan Bahasa Inggeris, Bahasa Arab

Oleh FAUZI MOHD

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis penutupan dan pengurniaan hadiah program pengukuhan Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab Piala Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) 2012 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Mengiringi baginda, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah serta anggota-anggota exco kerajaan negeri.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Prof Emeritus Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong dalam ucapannya di majlis itu, semalam berkata tahun ini adalah tahun ketiga program itu diadakan.

Katanya, program termasuk 'Speech Choir' untuk sekolah menengah dan acara 'Smart English' untuk sekolah rendah seluruh negeri Terengganu.

Menurut beliau, pertandingan iitu anjuran bersama YDSM dan Jabatan Pelajaran negeri bermula sejak 12 Julai lalu dan tamat semalam.

“Program itu mula menunjukkan pencapaian penting apabila sebahagian pelajar negeri ini beransur-ansur menunjukkan kejayaan mengatasi beban psikologi dan rasa kekok ketika berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan orang ramai.

"Kejayaan program pengukuhan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sebelum ini telah memberi ilham bagi pihak kami memulakan program baru iaitu program pengukuhan Bahasa Arab Piala YDSM mulai tahun ini," katanya.

Beliau berkata menerusi program baru itu diharap pelajar-pelajar sekolah agama di negeri ini dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran, dan salah satu bahasa penting di dunia kini.

Pada program itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud II, Besut muncul juara bagi kategori Speech Choir, Sekolah Kebangsaan Rantau Petronas, Kemaman pula muncul juara bagi kategori Smart English manakala SMK Agama Sheikh Abdul Malek, juara bagi kategori Kalam Jamaie.