Halaman

16 July 2012

Sukma Pahang : Sang Penyu baham dua emas hoki!

Oleh: Aida Abd Rahman

Biarpun sudah mengesahkan kejuaraan dengan mengumpul hampir 60 emas sehingga petang semalam, pasukan hoki Terengganu terus menjadikan lawan sebagai mangsa untuk menggenggam dua lagi emas menerusi final hoki lelaki dan wanita Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang, di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, malam tadi.

Ternyata semangat juang anak Terengganu tidak pernah padam biarpun terpaksa berhempas pulas menyaingi lawan sehingga mengheret ke perlawanan tambahan dan pukulan penalti selepas skuad lelaki terikat 3-3 menentang Wilayah Persekutuan.

Pertahanan Terengganu, Muhamad Zahirul Faiz Asha'ri muncul wira apabila jaringan yang juga penentuan kelebihan mata berjaya memperdaya penjaga gol Wilayah Persekutuan, Muhammad Fitri Jasni bagi memastikan pingat emas buat Terengganu.

Sebelum itu, gol penalti Terengganu turut disempurnakan Muhammad Firhan Asha'ari, Muhamad Sufi Ismat Rahoulamin dan Mohd Fitri Saari.

Kejayaan meraih emas itu adalah yang pertama buat Terengganu bagi acara hoki lelaki di temasya berkenaan.

Pada perlawanan malam ini, skuad Penyu terlebih dahulu mengasak menerusi pemain kebangsaan Faizal Saari yang menyempurnakan dua pukulan sudut penalti pada minit ke-28 dan ke-45 untuk meletakkan skuad itu 2-0 di hadapan.

Wilayah Persekutuan, bagaimanapun bangkit menerusi gol pertama Mohamad Nor Faeez Ibrahim hasil pukulan sudut penalti tiga minit kemudian.

Faizal yang licik dan bijak mengatur serangan Terengganu mencetus hatrik dengan meledak gol pada minit ke-51 menerusi pukulan sudut penalti.

Wilayah Persekutuan yang ketinggalan dua gol tidak berputus asa apabila Muhamad Ramadhan Rosli menyumbat masuk gol kedua Wilayah Persekutuan pada minit ke-55 diikuti gol penyamaan oleh Mohamad Nor Faeez pada minit ke-64.

Terikat 3-3 sehingga tamat separuh masa kedua, perlawanan diheret ke masa tambahan namun kedua-dua pasukan buntu untuk menjaringkan gol sehingga wisel akhir.

Terengganu akhirnya muncul juara apabila menumpaskan Wilayah Persekutuan menerusi pukulan penalti 4-3.

Jurulatih Terengganu, Encik Mohamad Saberi Salleh, berkata strateginya menguatkan bahagian tengah dan menghasilkan gol menerusi pukulan sudut penalti menjadi.

"Meskipun bahagian pertahanan agak goyah terutama pada separuh masa kedua, saya tetap berpuas hati dan gembira dengan kemenangan ini," katanya.

Sementara itu, skuad wanita Terengganu turut mengenepikan lawan yang sama, Wilayah Persekutuan 1-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung pada sebelah petang.
Gol 'emas' Terengganu dijaringkan Rashidah Mahmad menerusi jaringan padang pada minit ke-18.

Selangor dan Pulau Pinang masing-masing meraih gangsa bagi acara hoki wanita
dan lelaki.