Halaman

15 July 2012

Terengganu bangga dapat anjur Pertandingan ROBOCON 2012

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan Terengganu bangga dapat menjadi tuan rumah bagi Pertandingan ROBOCON 2012 berikutan dapat memberi pendedahan baru dan tambah nilai kepada peserta dalam bidang robotik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata program seumpama ini memberi manfaat dalam usaha mengerakkan serta mencipta inovasi bagi negara, seterusnya merapatkan lagi silaturahim dan semangat kerjasama yang sedia terjalin di antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Katanya, pada masa sama mampu membuktikan kehebatan kemahiran kreativiti dan inovasi setiap pasukan bertanding di dalam bidang sains dan teknologi.

“Setiap peserta atau pelajar yang menyertainya dapat menimba pengalaman berharga melalui curahan idea, kreativiti, di samping kerja keras dan semangat kerjasama yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam bagi meraikan peserta pertandingan itu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden Sirim Berhad, Ir Dr Mohamd Jamil Sulaiman; Pengarah Pelajaran Negeri, Encik Zakaria Husin dan Jabatan Penerangan Terengganu Hajah Azizah Awang.

Dato’ Mazlan turut memberitahu kemajuan teknologi yang pesat mampu meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja mahir berkualiti, berpengetahuan luas serta mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, justeru itu, keperluan terhadap tenaga kerja terlatih dan berkemahiran tinggi di dalam pelbagai bidang pekerjaan akan menjadi kritikal untuk mencapai hasrat negara meningkat pendapatan rakyat ke tahap berpendapatan tinggi.

“Oleh itu, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk membangunkan dan mengekalkan modal insane bertaraf dunia melalui budaya inovasi, peningkatan kemahiran dan berpretasi tinggi,” katanya.