Halaman

15 July 2012

Sukma Pahang : Terengganu kukuh cengkaman pertahan kejuaraan

Oleh: Aida Abd Rahman



Terengganu kian mengukuhkan cengkaman untuk mempertahankan juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) ke – 15 Pahang apabila mendominasi pungutan pingat pada hari ke- 14 temasya itu dengan merangkul 53 emas, 23 perak dan 25 gangsa.

Kontinjen `Hanelang’ merampas takhta Selangor sejak semalam dengan perbezaan lapan pingat emas ketika Sukma masih berbaki dua hari lagi sebelum melabuhkan tirai secara rasmi.

Pungutan pingat itu juga berjaya mengatasi sasaran 47 pingat emas keseluruhan kontinjen yang digelar `kuasa baru sukan negara ‘ itu.

Selangor yang mengambil tempat Terengganu kekal menghuni tangga kedua keseluruhan dengan menggumpul 45 pingat emas, 48 perak dan 51 gangsa.

Dua daripada enam pingat emas kontinjen Terengganu semalam dilakar dari acara pencak silat menerusi Normanjalina Madon (Kelas A 45-50kg Puteri) dan Norfarana Mohd Kamil (Kelas Bebas 75-90kg Puteri).

Sebagaimana ramalan, skuad berbasikal yang menjadi lubuk emas membolot 12 pingat emas sekali gus melakar sejarah membawa pulang pingat emas terbanyak pada temasya itu kali ini sebaik sahaja acara itu menutup saingan semalam.

Dua emas berbasikal menerusi acara Kriterium 54.4km wanita yang dihasilkan Zahraa Anuawar dan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri (Kriterium 81.6km lelaki).

Baki dua lagi emas Terengganu diraih Nurul Iryani Muda (Compound perseorangan wanita pusingan olimpik) dan petanque lelaki triples (Ahmad Amirul Ashraf Ahmad Yani/Mohamad Adri Abdul Jalil/Syed Akmal Fikri Syed Ali).

Dalam saingan semalam, Selangor hanya mengutip dua pingat emas dalam acara pencak silat menerusi Nor Afizah Yajis (Kelas E 65-70kg Puteri) dan Partini Sakrikin Adnan (Kelas B 50-55kg Puteri).

Sementara tuan rumah Pahang menduduki tangga ketiga dengan mengumpul 40 pingat emas, 32 perak dan 31 gangsa.