Halaman

19 July 2012

Terengganu cadang hantar pelajar pergigian ke India

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bercadang menghantar sekumpulan pelajar bagi mengikuti pengajian dalam bidang pergigian di negara India melalui kerjasama yang diadakan dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, ia sebahagian daripada penerusan usaha penghantaran lebih ramai anak negeri ke luar negara untuk mempelbagaikan penguasaan ilmu dan kemahiran.

Katanya, sekiranya proses perbincangan di antara kerajaan negeri dan UiTM selesai dalam masa terdekat, penghantaran pelajar akan dibuat bermula Mac ini.

"Pada masa ini, perbincangan masih berlangsung dan difahamkan, kerajaan India menawarkan lebih 200 tempat kepada UiTM untuk menghantar pelajar bagi mengikuti kursus itu di mana kos pengajian termasuk penginapan serta makan minum akan ditanggung.

"Melalui kerjasama yang akan diadakan dengan UiTM, mereka menawarkan tempat untuk pelajar Terengganu dalam bidang yang sama di mana pelajar perlu mengikuti kursus persedian awal di UiTM sebelum meneruskan pengajian mereka di India," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Pendidikan Terengganu 2012 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), baru-baru ini.

Karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kolej Universiti TATI (TATiUC), Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) itu disertai 22 institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Karnival selama tiga hari itu bertujuan menyebarkan maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan dan perancangan kerjaya serta membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir untuk melanjutkan pelajaran ke IPT.

Menurut Ahmad Razif, melalui kerjasama itu membolehkan Terengganu meneroka satu lagi bidang baru di mana ia belum dilakukan sebelum ini.

"Konsep yang kita buat ini menggunakan konsep offshore di mana pelajar akan mengikuti pengajian di India dan sijil akan dikeluarkan oleh UiTM manakala kita juga akan menggabungkan kepakaran pensyarah daripada kedua-dua universiti.

"Ini merupakan kerjasama kita yang pertama dengan negara India melalui UiTM dan kita masih tunggu keputusan kerajaan negeri tentang perkara tersebut," jelasnya.