Sebanyak 61 pasukan mewakili 44 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dari seluruh negara sedang menguji tahap kreativiti mereka dalam Pertandingan ROBOCON 2012 Peringkat Kebangsaan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.
Penolong Pendaftar (media) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Encik Sabri Ahmad memberitahu, ini merupakan penyertaan terbanyak sejak pertandingan tahunan yang bermula sejak 2002 dan terbuka kepada pelajar universiti, kolej dan institusi kemahiran.
Katanya, buat pertama kalinya juga Kementerian Pengajian Tinggi menyerahkan penganjuran kepada sebuah institusi pengajian tinggi awam dan UTM memikul tanggungjawab itu.
“Terengganu mempunyai kemudahan sesuai dipilih menjadi tuah rumah dalam pertandingan yang semakin berprestij dengan penyertaan terus meningkat malah makin mencabar keupayaan para peserta,” katanya.
Pertandingan kali ke-11 yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan SIRIM Berhad tersebut bertemakan "Ke Arah Keamanan dan Kemakmuran".
UTM memenangi tujuh daripada 10 siri pertandingan robot itu yang diadakan sebelum ini, manakala tiga lagi dikuasai oleh Universiti Multimedia.
Johan keseluruhan akan menerima RM10,000 di samping RM5,000 insentif persiapan ke peringkat antarabangsa selain setiap RM3,000 bagi kejuruteraan robot terbaik, reka bentuk robot terbaik dan idea robot terbaik.
Encik Sabri turut memberitahu pertandingan di Stadium Negeri di sini yang akan berakhir pada 17 Julai ini menarik penglibatan 427 pelajar dan Terengganu turut diwakili oleh pasukan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kemaman.
“Pihak kami menyasarkan program kali ini yang terbuka kepada umum bakal dikunjungi lebih 10,000 pelawat dari seluruh negara terutama kalangan pelajar dan belia.
"Pertandingan dibawa ke sini untuk memberi pendedahan meluas terutama kepada generasi muda dalam teknologi robotik dan kejuruteraan seiring dengan perkembangan dunia sains dan teknologi.
"Ia juga dapat membantu menjana minda kreatif dan inovatif, selain menarik minat generasi muda dalam bidang ini," katanya.
Beliau berkata, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dijangka merasmikan program penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan itu pada petang 17 julai.
Pemenang peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong Ogos depan.