Halaman

17 July 2012

Logo TMT 2013 bakal dilancar

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan melancarkan logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, pada malam esok (Rabu, 18 Julai).

Majlis pelancaran logo hasil ciptaan pelajar Art & Design Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nazira Abdul Rahman, 23, itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said.

Di jangka hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013 dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Logo ciptaan Siti Nazira dari Kampung Pauh, Kuala Berang ITU menampilkan ilustrasi penyu sebagai latar utama, selain elemen warna, imej dan grafik menonjolkan tradisi serta warisan negeri khususnya seni ukiran kayu, tembaga, kapal layar, songket mahupun batik.

Di samping itu turut dihiasi matahari sebagai lambang keindahan Terengganu yang terletak di pesisir pantai terpanjang di Malaysia.

Tarikan logo yang diangkat sebagai pemenang utama pertandingan bertemakan `Aspirasi Darul Iman- Satu Idea Seribu Harapan' bakal digunakan secara meluas dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran kehadiran empat juta pelancong ke bumi Darul Iman sepanjang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM15 juta bagi menjayakan strategi dan matlamat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, secara lebih berkesan.

“Kos promosi TMT 2013 terpaksa dinaikkan sekali ganda berbanding TMT 2008 kerana bayaran berkaitan promosi seperti tambang penerbangan ke luar negara dan bayaran kepada perunding meningkat.

“Kerajaan sentiasa mencari peluang bagi menempatkan diri dalam sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan di dalam dan luar negara melalui Tourism Malaysia, termasuk menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul,” katanya .

Katanya, pihaknya akan terus memperkasakan produk pelancongan sedia ada di samping memberi nilai tambah semua tempat peranginan.

“Terengganu turut memberi tumpuan kepada penganjuran acara pelancongan berasaskan destinasi seperti Kapas Marang International Swimathon; Fiesta Candat Sotong; Terengganu Master Golf Invitational; Kenyir Cup; Perhentian Island Challlenge; Kenyir Lake International Triathlon dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun,” katanya.