Halaman

19 July 2012

Sultan Terengganu lancar Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan.

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah meluluskan penubuhan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan.

“Beta juga menghargai sokongan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili yang berusaha untuk merealisasikan penubuhan yayasan ini,” titah Baginda di majlis Pelancaran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini (19 Julai).

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili; Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Naib Canselor UMT Prof Dato' Dr. Ibrahim Komoo.



“Beta berbangga yayasan ini dilancarkan setelah genap tujuh bulan selepas lawatan Beta ke Antartika iaitu pada November 2011 dan ini menunjukkan komitmen serta sokongan ikhlas daripada kerajaan terhadap program penyelidikan Antartika oleh rakyat Malaysia,” titah Baginda.

Sultan Mizan Zainal Abidin kemudiannya mengesa pihak-pihak lain dalam sektor swasta untuk menyokong dan bekerjasama dengan yayasan itu dalam usaha untuk meningkatkan penyertaan Malaysia dalam penyelidikan saintifik di Antartika.

Titah Baginda kewujudan yayasan ini untuk memberi ruang bagi pembiayaan penyelidikan di Antartika di samping menyediakan peluang untuk menjalankan penyelidikan saitifik yang bermanfaat kepada manusia.

“Antartika merupakan makmal asli yang penting dan membolehkan penyelidik untuk mengesan dan memantau fenomena alam sekitar di peringkat global seperti penipisan ozon atmosfera, pemanasan global serta perubahan paras laut,”.

“Beta gembira melihat adanya rakyat negara ini sudah memulakan usaha untuk membongkar misteri saintifik yang tersembunyi di benua sejuk itu dan berharap lebih ramai lagi terutama penyelidik muda menyertai usaha ini,” titah Baginda.



Sultan Mizan Zainal Abidin kemudiannnya berkenan menyampaikan Anugerah Penyelidikan Antartika Sultan Mizan kepada tiga orang penyelidik iaitu Dr. Wan Mohd Rauhan Wan Hussin (UMT); Dr Chong Chur Wie (Internasional Medical Universiti) dan Abiramy a/p Krishnan (UMT).