Halaman

19 July 2012

Belia jadi rakan kongsi kerajaan

Oleh: Aida And Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA



Kerajaan negeri sentiasa menjadikan belia sebagai rakan kongsi dengan memastikan setiap isu dan beban hidup belia di bandar-bandar dapat diatasi secepat mungkin.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata permasalahan, beban dan isu belia sentiasa diambil kira dan terbela dalam setiap keputusan yang dilaksanakan kerajaan.



“Saya ingin katakan bahawa, setapak saudara-saudari (belia) melangkah ke dataran ini, maka 10 tapak kerajaan akan datang mendekatkan diri kepada saudara-saudari untuk mendengar, memahami dan mendengar setiap denyut jantung generasi belia pada hari ini.

“Kerajaan negeri beriltizam dengan usaha belia hadir ke dataran ini membuktikan belia bersedia untuk didekati dan kerajaan akan melangkah untuk menyelinap masuk ke hati sanubari generasi muda bagi memahami golongan muda untuk sama-sama membangunkan negeri ini,” kata beliau ketika berucap sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu 2012, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat dan Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Encik Mat Yusof Mat Ali.

Kira-kira 2,000 belia mewakili persatuan belia berhimpun di program itu.


Menteri Besar berkata, kerajaan berjanji untuk sentiasa bersama generasi muda berkongsi pandangan dan menyokong pembabitan mereka dalam usaha memaju dan membangunkan negeri.

“Perhimpunan hari ini juga membuktikan proses memperkasakan golongan belia sedang berlaku. Ia juga membuktikan semangat sukarelawan di kalangan generasi muda semakin meningkat,” katanya.

Beliau kemudiannya menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu 2012 kepada penerima Anugerah Perdana masing-masing bagi kategori lelaki kepada Mohd Fauzi Mat Adam, 32, dari Air Puteh, Kemaman dan kategori wanita, Cik Erniesalwani Saidi, 26, dari Kuala Besut.


Anugerah Khas Tokoh Belia dimenangi oleh Abdul Karim Mohamad, 40, dari Kuala Terengganu. Kesemua tokoh berkenaan menerima RM5,000 beserta piala iringan dan sijil.
Manakala kategori Pertubuhan Belia pula dianugerahkan kepada Belia Felda Kerteh I, Ketengah Jaya, Dungun yang berjaya membawa pulang RM20,000, piala iringan dan sijil.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyerahkan replika cek berjumlah RM788,000 kepada Encik Mat Yusof yang mewakili badan gabungan belia seluruh Terengganu sebagai bantuan pentadbiran kepada persatuan belia.