Halaman

19 July 2012

Latihan pembuatan kek, roti untuk 40 anak asnaf Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bakal menempatkan 40 orang anak-anak golongan asnaf di seluruh Terengganu bagi mengikuti latihan membuat kek dan roti di pusat latihan pembuatan makanan itu, di Marang bermula September ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda,
Dato’ Mazlan Hashim, berkata pembiayaan pelajar ke pusat latihan di bawah fisabillah dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia dan Pusat Giat Mara menjadi program perintis dan pertama seumpamanya di negara ini yang dilaksanakan badan agama itu.

“Bangunan bagi menempatkan pusat latihan yang pertama seumpanya di negara ini itu akan siap tidak lama lagi dan menjelang September ini, 40 peserta dari kumpulan pertama akan mula mengikuti latihan di situ selama enam bulan.

“Untuk pengambilan pertama, kita menetapkan pelajar dari golongan asnaf yang terdiri daripada 100 peratus anak Terengganu, manakala pengambilan berikutnya barulah kita membuka peluang kepada rakyat negeri lain. Bagaimanapun, 70 peratus daripada mereka kita masih kekalkan anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Senara Muda berkata, usaha Maidam itu sebagai satu peralihan fokus dalam membantu golongan miskin dengan memberi tumpuan kepada bimbingan, latihan dan juga pendidikan sebagai persiapan memajukan diri.

Katanya, Maidam mahu generasi kedua penerima bantuan Maidam mampu menggunakan kemahiran yang ada untuk memastikan mereka mampu keluar dari paras kemiskinan.

“Jika kita memberi bantuan kewangan, wang berkenaan akan habis belum sempat melakukan apa-apa lagi. Bagaimanapun, jika dengan adanya kemahiran itu nanti, mereka dapat melaksanakan kemahiran itu untuk meningkatkan taraf kehidupan supaya lebih selesa tanpa bergantung kepada bantuan orang lain lagi satu masa nanti," katanya.