Halaman

18 July 2012

Kibar Jalur Gemilang - Jangan tunggu bendera percuma, hadiah

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Masyarakat diminta menjadikan acara Kibar Jalur Gemilang sebagai satu budaya setiap kali menjelang sambutan Bulan Kemerdekaan tanpa menunggu kempen yang dianjurkan oleh kerajaan.



Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said berkata, sebagai warga Malaysia, setiap rakyat perlu menyambut baik kempen itu sebagai satu kewajipan dan tanda terima kasih kepada negara.


Menurutnya, orang ramai tidak perlu segan-silu untuk mengibarkan bendera Malaysia di mana sahaja, sama ada di sekolah, rumah, pejabat, kedai malah pada kenderaan sendiri.

"Jangan harapkan bendera percuma, hadiah pertandingan dan habuan lain atau notis daripada pihak kerajaan sebagai syarat untuk kita kibarkan Jalur Gemilang.

"Apa salahnya kita berbelanja untuk tunjukkan rasa cinta kepada negara atau lebih dari itu kita sendiri yang keluarkan belanja untuk beri kepada orang lain, " katanya.


Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman.


Dato' Seri Ahmad menambah, menerusi usaha tersebut, ia akan menjadikan masyarakat lebih bertanggungjawab untuk menghormati dan memelihara maruah negara.

"Dalam hal ini, saya melihat bahawa sikap masyarakat yang menganggap Jalur Gemilang hanya sesuai dikibarkan di sekolah dan bangunan kerajaan juga harus dikikis kerana amalan mengibar bendera merupakan tanggungjawab bersama," ujarnya.


Majlis yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung itu menyaksikan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada semua Pegawai Daerah serta melekatkan bendera itu pada kenderaan rasmi kerajaan dan teksi.

Dengan tema 1 Malaysia : Janji Ditepati, upacara pada malam itu diserikan dengan perarakan 55 Jalur Gemilang oleh Rejimen Askar Melayu Diraja dan persembahan koir daripada Institut Pendidikan Guru Dato' Razali Ismail.