Halaman

20 July 2012

Tuanku Muhriz dahului senarai 294 penerima Darjah Kebesaran Terengganu

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (gambar kiri) mendahului senarai 294 penerima pingat dan darjah kebesaran sempena ulang tahun ke-50 keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada Jumaat.


Tuanku Muhriz dianugerah Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Yang Pertama.

Ketua Setiausaha Negara Dato' Seri Dr Ali Hamsa pula adalah penerima tunggal darjah kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Dato' Seri.

Enam penerima Dato' Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) yang membawa gelaran Dato' dan To' Puan bagi isteri mereka.

Mereka ialah Pegawai Kewangan Negeri Dato' Abdul Razak Ismail; Panglima Medan Tentera Darat Lt Jeneral Dato' Zulkiple Kassim; Naib Presiden Petronas Dato' Anuar Ahmad; Timbalan Peguam Cara Negara II Dato' Tun Abdul Majid Tun Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Dato' Jebasingam Issace A/L John dan Profesor Emeristus Dato' Paduka Dr Nik Anuar Nik Mahmud.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mazlan Ngah ditemani timbalannya, Dato' Wan Ahamad Wan Muda ketika mengadakan sidang media sempena ulang tahun ke-50 keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Tiga penerima Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) yang juga membawa gelaran Dato' iaitu Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, Panglima Angkatan Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Seramai 14 penerima Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.M.Z) termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Rozi Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu manakala 20 individu menerima Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin (A.M.Z) termasuk Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Pengurus Besar Kewangan Bank Rakyat, Mustafha Abdul Razak.

Seramai 10 individu menerima Dato' Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T), termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Polis Terengganu SAC Datuk Jamshah Mustapa.

Darjah kebesaran D.P.M.T juga membawa gelaran Dato'. 

Bekas Anggota Dewan Negara, Senator Zainun Abu Bakar dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Md Kamaru Al-Amin Ismail adalah antara 15 individu yang menerima Setia Mahkota Terengganu (S.M.T) manakala 29 individu menerima Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T) termasuk Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Md. Yuslan Md. Yusof dan Ketua Penolong Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Mat Zaid Ibrahim.

Seramai 168 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 16 penerima Pingat Lama Berjawatan (PLP) dan 12 menerima Pingat Jasa Cemerlang (PJC).

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mazlan Ngah berkata istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat berkenaan akan disempurnakan pada 30 Sept ini oleh Sultan Mizan.