Halaman

20 July 2012

Bantuan zakat RM14 juta diagih sempena Ramadan

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan RM14 juta sebagai wang bantuan zakat kepada 33,000 penduduk asnaf, fakir dan miskin di seluruh negeri sempena Ramadan tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda,
Dato’ Mazlan Hashim, berkata pengagihan bantuan berjumlah RM350 kepada penerima yang mempunyai tanggungan tiga ke bawah dan RM450 kepada penerima yang mempunyai tanggungan lebih dari tiga orang itu mula dilaksanakan sejak 1 Julai sehingga 12 Julai lalu.

“Pengagihan bantuan yang berlangsung hampir dua minggu itu dilaksanakan menerusi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Daripada seluruh daerah, Kuala Terengganu menjadi daerah yang mencatat penerima bantuan tertinggi pada kali ini di mana seramai 9,494 penerima dengan peruntukan lebih RM3 juta,” katanya.

Katanya, bantuan itu disampaikan sebelum tibanya bulan Ramadan bagi memberi keselesaan kepada penerima terutama warga emas dan mereka yang uzur untuk ke pusat pengagihan dan berbelanja sempena sambutan awal Ramadan .

Sementara itu, beliau berkata Maidam menjangkakan kutipan zakat pada tahun ini berjumlah RM100 juta berbanding kutipan tahun lalu sebanyak RM88 juta .