Halaman

17 July 2012

Kadar zakat fitrah RM7.60, RM7.00 dan RM4.50

Oleh: Aida Abd Rahman
Kadar zakat fitrah bagi negeri Terengganu pada tahun ini ditetapkan mengikut tiga kadar RM7.60, RM7.00 dan RM4.50, masing-masing menurun berbanding RM8.00, RM7.00 dan RM5.00 tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata kadar fitrah itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan zainal Abidin.

“Sehubungan itu, mana-mana orang Islam yang akan menunaikan fitrah, boleh berbuat demikian sama ada dengan tunai mengikut tiga kadar berkenaan atau dibayar dengan beras dengan kadar timbangan 2.60 kilogram (Kg)atau dengan cupak bersamaan 2.97 cupak.

“Timbangan berat tersebut adalah mengikut nilaian berat satu gantang Baghdad,” katanya di Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Negeri Terengganu Tahun 1432 H/2012 M, di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Baitulmal Maidam, Encik Marzuki Endut.

Menurutnya, bagi mana-mana orang Islam yang menunaikan fitrah dengan tunai, pembayaran fitrah adalah tidak kurang daripada RM4.50 setiap orang dan bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis yang baik, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakan iaitu mengikut nilaian tunai timbangan beras seberat 2.60 kg.

“Sebagai makluman, kadar yang diperolehi itu adalah berdasarkan kepada harga beras gred Super di pasaran tempatan yang mana nilaiannya bersamaan dengan beras gred 15 peratus hancur, 10 peratus hancur serta lima peratus hancur.

“Menerusi tinjauan harga beras di pasar dan kedai seluruh Terengganu, pihak pengurusan mendapati kadar harga beras ridak berubah dari tahun sebelumnya, bagaimanapun kadar fitrah berubah pada tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan perubahan kepada pengukuran timbangan satu gantang Baghdad daripada 2.7 kg kepada 2.6 kg,” katanya.