Halaman

18 July 2012

Ukom rai media makan durian

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai gelagat dapat dilihat pada wajah pengamal media dan tetamu yang hadir menjamu hidangan pada Program Cekoh Durian Bersama Media, di perkarangan Pejabat Unit Komunikasi Negeri (Ukom), Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, petang ini.



Mereka dari pelbagai jabatan dan agensi itu, termasuk Pejabat Menteri Besar Terengganu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan Malaysia, Media Prima dan Sinar Harian mengakui seronok menikmati `raja buah’.

Makanan lain turut menjadi pilihan, termasuk santan durian, manggis dan rambutan.

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong, berkata program tahunan yang dianjurkan itu mampu mewujudkan hubungan silaturahim dan tolenrasi antara Ukom dan pengamal media.

“Pihak kami sentiasa menghargai perananan media yang sememangnya tidak jemu-jemu menghebahkan perkara baik dan maklumat positif mengenai kerajaan negeri kepada umum.

“Jika tiada pengamal media agak sukar untuk berbuat demikian kerana pada zaman kini, semua pihak mahukan berita terkini daripada media massa dan elektronik,” katanya.

Pemberita Sinar Harian, Zubir Sulaiman, berkata dia gembira kerana turut dijemput bersama rakan media lain menjamu `raja buah’ yang sememangnya digemari sejak kecil.



“Saya ambil peluang makan sepuas-puasnya, mungkin tiada lagi jabatan lain yang anjurkan program seumpama ini kerana masing-masing bersedia untuk menyambut Ramadan,” katanya.

Pemberita New Straits Times Press (NSTP), Puan Ayu Zarina Abdulllah, berkata terima kasih kepada Ukom kerana sudi menjemputnya, walaupun sedang bercuti, dia sanggup datang semata-mata mahu mengeratkan hubungan antara Ukom.

“Saya harap program ini diteruskan pada masa akan datang kerana menyedari pelbagai manfaat diperoleh,” katanya.