Halaman

28 July 2012

Kembara Merdeka Jalur Gemilang bermula di Besut


YB Idris memacak jalur gemilang kepada kenderaan.

Oleh: Mohammad Ishak

Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2012 memulakan pengembaraan di Besut dengan memilih Kampung Nyior Tujuh, dekat Jertih, sebagai lokasi pertama persingahan dan pelancaran aktiviti kembara.

Sempena program pihak penganjur mengatur beberapa acara sampingan termasuk jelajah daerah, solat asar berjemaah bersama penduduk dan majlis penyampaian sumbangan kepada penduduk miskin di kampung terbabit.

Majlis yang dirasmikan pelancarannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang berlangsung di perkarangan masjid kampung itu turut mengagih-agihkan jalur gemilang kepada orang ramai.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu Azizah Awang, Ketua Konvoi Mohd Iskandar Jaafar, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendent Kamaruddin Mohd Zakaria dan Pegawai Penerangan Daerah Besut, Halimah Awang Chik.

Kembara Merdeka yang memulakan jelajahnya di Besut akan meneruskan perjalanan ke daerah Setiu dan semua daerah negeri ini sebagai tanda simbolik bagi membangkitkan semangat patriotik dikalangan rakyat negeri ini.

Peserta kembara juga didedahkan aktiviti kemasyarakatan dan sosial apabila mereka diberi peluang mendekati penduduk dengan mengagih-agihkan sumbangan makanan kepada golongan miskin yang terpilih.

Berucap pada majlis itu, Idris yang juga Pengerusi MARA mahu penduduk negeri ini bersyukur dengan kejayaan yang dicapai oleh negara hasil perancangan pemimpin dan mampu mengurus negara dengan baik dan berkesan sejak merdeka.

Katanya, rakyat negara ini juga jangan lupa sejarah hasil kemerdekaan yang membawa kesejahteraan dan keamanan kepada negara adalah hasil kesungguhan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang berjaya mentadbir negara tanpa sebarang masalah.


Program Ihya' Ramadan semarak Ramadan kalangan saudara kita

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar ZULKIPLI PUTRA
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menganjurkan beberapa program Ihya’ Ramadan bagi memastikan 2,100 saudara kita dan masyarakat Orang Asli di seluruh Terengganu dapat meningkatkan penghayatan dan amal ibadat sepanjang Ramadan tahun ini.

Yang Dipertua Maidam, Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata antara program berkenaan seperti Kem Ramadan Saudara Kita Negeri Terengganu, Kem Ramadan Masyarakat Orang Asli Negeri Terengganu, Ziarah Dakwah, Majlis Berbuka Puasa dan Agihan Zakat Aidil Fitri.

“Majlis berbuka puasa dan agihan zakat turut diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Sayap, Hulu Besut, di Sungai Pergam (Kemaman) dan Sungai Berua, Hulu Terengganu.

“Program yang diadakan setiap tahun turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi menyemarakkan sambutan bulan yang penuh keistimewaan dan rahmat itu supaya turut sama dimanfaatkan oleh saudara kita yang baru memeluk Islam ini,” katanya.

Dato’ Senara Muda berkata, Maidam turut mengagihkan zakat fitrah dalam program berbuka puasa yang dianjurkan di setiap perkampungan Orang Asli bagi memudahkan bantuan berkenaan disalurkan kepada golongan itu.

Beliau berkata, selain program Ihya’ Ramadan, Maidam turut menganjurkan pelbagai kursus agama yang lazim dilakukan dua kali seminggu di Kompleks Darul Hidayah, Jalan Sultan Omar, Kuala Terengganu.

Katanya, elaun khas disediakan kepada peserta berikutan mereka meninggalkan pekerjaan masing-masing sepanjang mengikuti kursus yang disediakan Maidam itu.






JKM belanja RM57.7 juta

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri membelanjakan kira-kira R57.7 juta bagi skim bantuan kepada kira-kira 33,000 golongan miskin di negeri ini dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengarah 1, JKM negeri, Hajah Che Mah Darus berkata, daripada peruntukan tersebut RM31.1 juta adalah di bawah peruntukan kerajaan negeri, manakala bakinya RM26.6 juta adalah peruntukan kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, peruntukan kerajaan negeri itu melibatkan skim bantuan am kepada warga tua, ibu dan bapa tunggal miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) yang melibatkan kira-kira 18,000 kes.

``Manakala bakinya adalah penerima di bawah skim bantuan persekutan seperti bantuan penyaraan kanak-kanak, warga emas, elaun pekerja cacat dan bantuan penjagaan pesakit atau OKU terlantar,’’ katanya.

Menurut beliau, sepajang tahun lalu JKM negeri membelanjakan kira-kira RM90.9 juta untuk pelbagai bantuan kepada kira-kira 33,000 kes melalui peruntukan kerajaan negeri dan persekutan.






Atlet diminta pastikan BN terus perintah Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar ZULKIPLI PUTRA
Atlet di negeri ini diminta supaya memastikan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kerana hanya BN yang mampu membela nasib mereka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata di bawah pemerintahan BN Terengganu kini muncul sebagai kuasa sukan negara dan para atlet mendapat habuan yang lumayan setiap kali mereka menang dalam pertandingan sukan sama ada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa.
“Kerajaan negeri yang diperintah oleh BN sentiasa mengambil berat dan cakna kepada kebajikan atlet.

“Kita menyediakan peruntukan yang besar setiap tahun bagi memastikan kecemerlangan di bidang sukan.
“Jika atlet mahu keadaan ini beterusan, saya minta atlet sokong dan undi BN pada pilihan raya nanti, Minta emak dan ayah, keluarga dan rakan-rakan sokong dan undi calon BN,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian insentif kepada atlet yang memenangi pingat pada temasya Sukma yang baru saja berakhir minggu lalu.

Terengganu mucul juara Sukma buat kali keempat berturut-turut selepas menang 62 pingat emas, meninggalkan Selangor di tempat kedua dengan hanya 47 emas dan tuan rumah Pahang tempat ketiga.

Kerajaan negeri menyediakan insentif berjumlah RM1.6 juta bagi habuan atlet yang berjaya memungut pingat pada temasya sukan tersebut.

Menteri Besar berkata, Kerajaan BN Terengganu bukan saja cakna kepada atlet tetapi kepada setiap orang yang berjaya melonjakkan nama negeri ini akan diberi penghargaan.

“Kerajaan BN mengambil berat semua bidang, khususnya pendidikan agar rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan,” katanya.




Atlet Terengganu terima ‘durian runtuh’ RM1,6 juta

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar ZULKIPLI PUTRA
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, menyampaikan ‘durian runtuh’ bernilai RM1.6 juta kepada atlet negeri ini yang berjaya mengekalkan Terengganu sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) buat kali keempat berturut-turut.

Insentif sumbangan kerajaan negeri itu disampaikan di Seri Iman malam tadi sempena majlis berbuka puasa bagi menghargai sumbangan atlet, para pegawai dan jurulatih yang bertungkus-lumus menyumbang tenaga bagi mengekalkan negeri Terengganu sebagai kuasa sukan negara.
Atlet memanah, Nurul Iryani muncul atlet paling banyak menerima insentif dengan jumlah RM25,000 dan diikuti peserta angkat berat, Abd Mubin Rahim yang menerima RM23,500.

Manakala atlet lumba basikal, Zahraa Anuawar menerima wang berjumlah RM20,000.

Secara keseluruhan atlet olahraga menerima paling banyak insentif yang berjumlah RM194,000 dan diiikuti memanah (RM119,000) serta lumba basikal (RM169,000).

Beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan ketua-ketua jabatan turut hadir pada majlis berkenaan.





Ahmad Said MB yang tidak kenal erti rehat..

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Bulan puasa bukan bulan untuk berehat. Bagi sesetengah orang, termasuk mereka yang berniaga, aktiviti di sepanjang Ramadan ini dihadkan di mana mereka mengambil lebih banyak masa untuk berehat.

Mereka yang bekerja pula tentunya mengambil masa cuti hujung minggu untuk berehat atau menonton televisyen di rumah.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak berlaku pada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yang sememangnya terkenal dengan sikap tidak pernah jemu untuk terus menabur bakti dan membantu menyelesaikan masalah rakyat yang dihimpit kesulitan.

Jadual tugasan beliau sentiasa padat pada hari-hari biasa dan ini tidak terkecuali pada hujung minggu pada sepanjang masa.

Menjelang cuti hujung minggu pertama Ramadhan tahun ini, beliau dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, mengetepikan keinginan untuk berehat atau bersantai bersama keluarga seperti yang dilakukan kebanyakan orang.

Sebaliknya, sepanjang hari ini, Menteri Besar dan isteri mempunyai jadual yang amat ketat di kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, untuk bertemu dan meraikan penduduk tempatan.

Bermula awal pagi, Menteri Besar akan mengadakan Program Ziarah Ramadhan di Kampung Pengkalan Cicar dan Kampung Ibai Penunjuk. Beliau dan isteri akan mengagih-agihkan bantuan kepada penduduk miskin dan Orang Kurang Upaya di kawasan tersebut.

Selepas itu, beliau akan bergegas ke Dewan Sivik Kijal, bagi menyampaikan bantuan Dana Remaja kepada kira-kira 300 belia bagi membolehkan mereka membeli-belah keperluan menyambut Hari Raya Puasa.

Menteri Besar kemudiannya akan melawat penduduk miskin di Kampung Lubuk Lesung, Sungai Mas dan Kampung Padang Kubu serta menyampaikan bantuan kepada mereka.

Kira-kira jam 5 petang beliau akan menyampaikan bantuan kepada orang miskin dan anak-anak yatim di kediamannya di Kampung Telok Kalong, Kijal.

Sebelum Maghrib beliau mengadakan majlis tahlil dan berbuka puasa di kediamannya yang akan dihadiri penduduk setempat.

Sebelah malam, Menteri besar akan hadir solat Isyak dan terawih di salah sebuah masjid di DUN Kijal.

Begitulah padatnya program Menteri Besar yang sanggup mengorbankan waktu rehat dan tidak mengira penat lelah untuk mendekati rakyat pada setiap masa, termasuk pada bulan puasa.




27 July 2012

HARAPAN ANAK TERENGGANU BERTARUNG DI OLIMPIK

Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Gambar Zulkipli Putra.

Pelumba basikal anak Terengganu yang akan bertarung esok di Olimpik, Amir Mustaffa Rusli (25 tahun) bersama Adiq Husaini Othman (21 tahun) kini dalam keadaan sihat, walaupun berpuasa.

Ketika dihubungi Teganukita, beliau berkata, harapan tetap ada walaupun perasaan sedikit gementar untuk berdepan dengan jaguh-jaguh lumba basikal dunia itu.

Biarpun namanya kurang diperkatakan oleh media, semangat dan keinginan Amir Mustafa Rusli untuk membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik terus membakar dalam dirinya.

Tidak diletakkan harapan tinggi, tetapi peluang yang diperolehi Adiq Husainie Othman dan Amir Mustafa Rusli amat berharga apabila bersaing bersama pelumba lebuh raya handalan dunia dalam acara berbasikal lebuh raya lelaki Sukan Olimpik 2012 London awal pagi esok.

Teganukita menghubungi beliau kira-kira jam 5.00 petang (Malaysia) dan 10.00 pagi di London, ketika beliau sedang berehat dan berpuasa.

Tepat pukul 5 petang esok (waktu Malaysia) dua pelumba kelahiran Terengganu ini akan memikul cabaran dalam acara yang turut disertai beberapa pelumba handalan dunia seperti Tom Boonen (Belgium), Fabian Cancellara (Switzerland), Mark Cavendish (Britain), Cadel Evans (Australia) dan pemenang jersi kuning Tour de France tahun ini, Bradley Wiggins (Britain).

Amir dan Adiq Husaini berharap rakyat Malaysia dan Terengganu khususnya mendoakan beliau.

“Saya ucap terima kasih kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said kerana memberi sokongan dan dorongan serta membiayai pemergian sama ayah kami ke London untuk memberi semangat,” katanya kepada Teganukita.

Perlumbaan melibatkan jarak sejauh 260 kilometer, di mana mereka akan bermula di The Mall di London melalui beberapa bandar utama seperti Sunbury, Weybridge, Woodham, Ockham sebelum mengelilingi Box Hill di Westhumble sebanyak sembilan kali sebelum kembali semula di The Mall untuk menamatkan saingan.

Berikut perbualan saya selaku Pengarang Teganukita dengan Amir Mustaffa yang baru berusia 25 tahun :

Ruslan:
salam
ini dari Teganukita, Pengarang Teganukita
bila pertarungan dengan Tom Boonen (Belgium), Britain, Switczerland dan lain-lain.

Amir Mustafa:
waalaikumussalamm..esok start racee .260km

Ruslan:
harapan mcm mana
nak masuk dalam media Terengganu sikit
bagilah kenyataan sikit, nanti Menteri Besar dan rakyat Terengganu baca hendak tahu
MB pun nak ke London tu

Amir Mustaffa:
Kenyataan macan tu bang?

Ruslan:
Apa perasaan bila pertama kali bertarung di Olimpik
bertarung dgn jaguh dunia
rakyat di sini sedang doakan kejayaan
Macam mana puasa tak di sana?

Amir Mustafa:
Perasaan sangat bangga dan ada rasa gemuruh sikit ah.sebab bukan race biasa ni.puasa di sini.

Ruslan:
Dah berapa hari di London

Amir Mustafa:
sudah 4 hari

Ruslan:
Sihat dan stabil ke adik ni utk bertarung sengit tu

Amir Mustafa:
Sihat dan keadaaan cukup bagus sekarang..insya Allah boleh

Ruslan:
Ada harapan ?
Melalui bandar- bandar
yang mungkin tidak biasa
Sundbury, Woodham dan lain-lain

Amir Mustafa:
Saya dah cuba laluan di sini..saya rasa insyallah, tak ada masalah untuk saya dan Adiq

Ruslan:
Tahniah..sekarang, jam berapa di sana pagi ke malam
di sini jam 5 00 petang

Amir Mustafa:
Kat sini kul 10 pagi

Ruslan:
Sedang berehat ke tu

Amir Mustafa:
Ya..tengah rehat

Ruslan:
Akhirnya, beri sedikit kata kata untuk MB dan rakyat Terengganu
malam ni MB berbuka dengan atlet Sukma Terengganu

Amir Mustafa:
Saya nak ucap terima kasih ah kepada Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said kerana sponsor ayah saya datang ke sini dan bagi sedikit sumbangan duit poket insyaAllah saya akan buat terbaik untuk rakyat terengganu

Ruslan:
Terima kasih...lain kali kita bicara lagi

Amir Mustafa:
Sama-sama.

Mereka tidak mahu hadir di London hanya sekadar untuk mengambil bahagian setelah melakukan persediaan terbaik dengan menyertai hampir 50 perlumbaan di Asia, Eropah dan Amerika Utara.

Amir yang sekarang ini bersama pasukan benua, Drapac Professional Cycling berkata, persediaan terakhir mereka berjalan lancar walaupun semua pelumba yang mengambil bahagian berdepan dengan masalah cuaca panas.

“Kami mengadakan perbincangan dan telah berlatih serta meninjau di laluan perlumbaan sebenar termasuk di zon pendakian, Box Hill," kata pelumba anak Terengganu ini.


MAJLIS PENYAMPAIAN INSENTIF KEMENANGAN SUKMA XV PAHANG 2012 DI KEDIAMAN SERI IMAN

Gambar-gambar oleh  ZULKIPLI PUTRA








JKT letak label pada gerai bersih


Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kesihatan Terengganu (JKT) akan memberikan penilaian permarkahan mengenai aspek kebersihan dan mematuhi peraturan kesihatan serta perundangan kepada 4,577 peniaga di 47 bazaar Ramadan seluruh negeri mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Parpaduan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dr A. Rahman Mokhtar berkata, pegawai daripada Jabatan Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah akan bekerjasama termasuk mengambil sampel makanan untuk memastikan makanan yang dijual kepada orang ramai sepanjang Ramadan bersih dan tidak tercemar.

Katanya, daripada hasil pemeriksaan yang dijalankan itu , pemarkahan akan dilakukan dan kepada peniaga yang mendapat penilaian markah 80 peratus keatas akan dilabelkan digerai masing-masing sebagaimana yang diadakan ke atas restoran dan kedai makan.

Manakala peniaga yang mendapat penilaian markah bawah 60 peratus tidak akan dilabelkan dan dikira gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam aspek kebersihan dalam penyediaan makanan.

``Dengan cara ini pengguna boleh membuat penilaian dan memilih gerai yang bersih sahaja untuk membeli juadah berbuka puasa ., katanya kepada pemberita selepas Ops Ramadan di bazaar Ramadan Kuala Ibai, petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Anwa Sulaiman dan Timbalannya (Perubatan) Dr Mohamad Omar.

Menurut Dr. A. Rahman, langkah itu adalah untuk memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku keracunan makanan atau menggunakan bahan-bahan yang tidak dibenarkan.

Katanya, mana-mana peniaga yang mempunyai permarkahan penilaian di bawah 60 peratus atau berisiko menyebabkan keracunan makanan boleh diarahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang boleh di kenakan denda sehingga RM100,000.

Bagaimanapun katanya, tindakan penguatkuasaan berkenaan akan diambil jika peniaga bersikap degil dan tidak mendengar nasihat serta teguran yang diberikan.






Jabatan Penerangan anjur Program Kembara Jalur Gemilang

Jabatan Penerangan Negeri akan menganjurkan Program Kembara Jalur Gemilang Ramadhan di seluruh negeri bermula 27 Julai hingga 12 Ogos, bagi menanamkan semangat cintakan negara di kalangan penduduk tempatan.

Penolong Pengarahnya, Encik Mohd Iskandar Jaafar, berkata program itu akan bermula di Masjid al-Taqwa Kampung Nyior Tujuh, mulai jam 4 petang hingga 11 malam, hari ini (27 Julai).

Pada keesokannya program itu akan diteruskan di Masjid Kampung Pak Be, Langkap, Setiu dan diikuti Surau Balai Maras, Batu Rakit, Setiu, pada 31 Julai.

Pada 1 Ogos pula, program yang sama diadakan di Rumah Anak Yatim Akhyar, Kuala Terengganu.

Program berkenaan akan berakhir pada 12 Ogos di mana lokasi yang ditetapkan ialah Surau Sekolah Kebangsaan Kertih, Kemasek.